KUALA LUMPUR: Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 pada 12 dan 13 Sept ini menjadi platform untuk mendekatkan institusi perundangan negara dengan rakyat, selain memberi peluang kepada masyarakat melihat serta merasai sendiri suasana “Rumah Demokrasi” itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata program dua hari itu turut diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-67 Parlimen dan Bulan Kebangsaan.
“Bermulanya demokrasi itu berlaku di Parlimen kerana ia menghimpunkan semua wakil kepada rakyat.
“Kita nak bawa masyarakat untuk melihat bukan dari jauh tetapi datang sendiri ke Parlimen... lihat, inilah Parlimen, inilah rumah anda sebenarnya... datanglah... lihatlah," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV Selasa malam.
Beliau berkata persidangan Dewan Rakyat akan dikosongkan pada hari berkenaan untuk memberi laluan kepada pelbagai aktiviti pameran dan program penglibatan awam.
Selain itu, lebih 40 kementerian dan agensi termasuk PR1MA, Residensi Wilayah, MyFutureJobs dan Bank Rakyat akan menyertai hari terbuka berkenaan bagi menyediakan kemudahan serta maklumat berkaitan kerjaya dan pembiayaan kepada pengunjung khususnya golongan muda.
Dalam pada itu, mengulas mengenai usaha pemerkasaan Parlimen, Johari berkata pelbagai reformasi institusi telah digerakkan secara berfasa termasuk penubuhan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memastikan setiap rang undang-undang diteliti secara mendalam oleh Ahli Parlimen sebelum diluluskan.
Beliau berkata Parlimen turut mengutamakan agenda pembangunan generasi muda menerusi pendedahan kepada persidangan Dewan Rakyat, penglibatan dalam kurikulum Program Latihan Khidmat Negara dan pemantapan tadbir urus Parlimen Belia Malaysia.
“Kita ada satu bangunan khas untuk Parlimen Belia di dalam Parlimen... di sinilah sebenarnya kita mendidik anak-anak muda yang berumur antara 18 hingga 30 tahun untuk betul-betul menjadi Ahli Parlimen kita pada masa depan,” katanya.
Menyentuh mengenai pemerkasaan autonomi institusi itu, Johari menyifatkan persetujuan kerajaan dan kelulusan Akta Perkhidmatan Parlimen baru-baru ini sebagai langkah penting untuk mengembalikan kebebasan Parlimen selepas 33 tahun diletakkan di bawah pengawasan Eksekutif.
-- BERNAMA