KUALA LUMPUR: Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024) akan disambut di Dataran Putrajaya, bersekali dengan program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD 2024) bermula esok hingga Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata program itu merupakan inisiatif Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk menghimpunkan perkhidmatan kerajaan dalam satu acara bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan yang mereka ingini di satu tempat.

Beliau berkata program yang memasuki tahun ketiga itu merupakan antara pengisian utama bagi sambutan HWP 2024 dan penubuhan 50 tahun Wilayah Persekutuan serta Ulang Tahun PPj ke-28.

"Saya mempelawa semua rakyat Malaysia hadir ke POD 2024 kerana kami menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan bukan sahaja daripada PPj malah kesemua kementerian, agensi awam, perbankan, syarikat telekomunikasi, hartanah dan lain-lain lagi di bawah satu bumbung.

"Selain itu, pelbagai acara sampingan yang menarik turut diatur bersempena kedua-dua sambutan ini," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Dr Zaliha berkata sebanyak 61 program telah disusun sempena sambutan HWP 2024 di bawah enam teras iaitu Teras Pengiktirafan; Teras Ilmiah dan Pendidikan; Teras Usahawan; Teras Kemasyarakatan; Teras Seni dan Budaya dan Teras Sukan.

Beliau berkata HWP 2024 yang bertemakan 'Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni', memberikan fokus kepada program kesejahteraan dan kebajikan yang berterusan kepada golongan B40 dan miskin di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Sambutan HWP 2024 dan pelaksanaan program 50 Tahun Wilayah Persekutuan adalah berkonsepkan mesra rakyat dan melibatkan penyertaan daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

"Ia bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mencerminkan nilai Ihsan melalui keadilan sosial dan kesinambungan usaha dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat serta menonjolkan kepekaan terhadap keperluan masyarakat," katanya.

Menurut Dr Zaliha penganjuran sambutan HWP 2024 dapat mengukuhkan lagi imej dan reputasi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam memantau pembangunan Wilayah Persekutuan merangkumi aspek pembangunan fizikal, ekonomi, persekitaran yang mampan dan kondusif; kerohanian serta pembangunan sosial.

"JWP berharap sambutan 50 Tahun Wilayah Persekutuan ini dapat mengingatkan kembali sejarah perjalanan kegemilangan penubuhan Wilayah Persekutuan selain menghayati dan menghargai kemakmuran serta kejayaan yang telah dicapai oleh Wilayah Persekutuan selama 50 Tahun ini.

Sambutan juga diharap dapat menanamkan serta mengukuhkan lagi semangat patriotisme cintakan Wilayah Persekutuan sekali gus menonjolkan imej warga Wilayah Persekutuan yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera," katanya.

Dr Zaliha berkata program 50 Tahun Wilayah Persekutuan ini akan berlangsung hingga Disember depan dan mempunyai pelbagai pengisian bersifat komuniti.

"Antara program yang dijalankan ialah Wacana Ilmu Malaysia MADANI 50WP, Sahabat 50WP, Paint by Numbers Canvas WP, Gemuruh 50WP, Wilayah Persekutuan Berselawat, Sambutan HWP 2024, Jualan Rakyat MrGrocer@Wilayah, Sarapan Sihat@WP, Sweating Sport@WP dan Selera@WP serta program bersempena bulan Ramadan dan Aidilfitri dengan dua daripadanya telah dilaksanakan pada Oktober lepas iaitu Pasport 50WP dan Suara@WP.

"Terdapat juga program lain seperti Program Pencahayaan WP (FT Light It Up!), Light and Motion Putrajaya 2024 (LAMPU), Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat Khas sempena Sambutan HWP 2024 dan 50 Tahun Wilayah Persekutuan, Borneo Art Festival 2024 serta Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampung Baru," katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-20 sejak diperkenalkan pada 2004.

Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974 manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.

-- BERNAMA