Skip to main content

Malaysia

Segera tempatkan doktor dari Semenanjung - MMA Sabah

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menempatkan doktor tambahan dari Semenanjung bagi menangani masalah kekurangan pegawai perubatan yang kritikal di Hospital Ranau dan fasiliti kesihatan di negeri itu. - Foto hiasan
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menempatkan doktor tambahan dari Semenanjung bagi menangani masalah kekurangan pegawai perubatan yang kritikal di Hospital Ranau dan fasiliti kesihatan di negeri itu. - Foto hiasan

Advertisement

Advertisement

KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) segera menempatkan doktor tambahan dari Semenanjung bagi menangani masalah kekurangan pegawai perubatan yang kritikal di Hospital Ranau dan fasiliti kesihatan di negeri itu.

Pengerusinya Dr Brandon Patrick Senagang berkata campur tangan dalam perkara itu amat diperlukan susulan laporan doktor bekerja untuk tempoh panjang tanpa rehat mencukupi yang mencetuskan kebimbangan serius terhadap kebajikan mereka dan kelangsungan perkhidmatan kesihatan.

“Laporan diterbitkan portal yang menggambarkan doktor bekerja selama 48 hingga 72 jam berturut-turut tanpa rehat yang cukup amat membimbangkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Advertisement

Dr Brandon berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah mengesahkan 11 daripada 19 pegawai perubatan Hospital Ranau ditukarkan susulan urusan pelantikan tetap baru-baru ini manakala hanya seorang daripada tujuh pengganti dari luar Sabah melaporkan diri, menyebabkan hospital itu beroperasi dengan sembilan doktor termasuk pengarahnya.

Beliau berkata kekurangan itu tidak hanya berlaku di Hospital Ranau, dengan JKN Sabah melaporkan anggaran kekurangan 245 pegawai perubatan di seluruh negeri berikutan urusan pelantikan itu manakala 67 peratus calon pengganti dari luar Sabah gagal melaporkan diri untuk bertugas.

Advertisement

MMA Sabah, menurut beliau juga menerima laporan mengenai waktu bekerja yang panjang dan tugas  atas panggilan (on-call) yang semakin kerap di hospital lain di seluruh negeri, dengan sesetengah doktor mempertimbangkan untuk meletak jawatan berikutan tekanan dan keletihan yang semakin meningkat.

Dr Brandon menyambut baik usaha JKN Sabah untuk menempatkan tiga pegawai perubatan tambahan ke Hospital Ranau secara berperingkat, namun menegaskan langkah tersebut sahaja tidak mencukupi kerana banyak fasiliti kesihatan di seluruh negeri itu menghadapi kekurangan serupa.

“Kami menggesa KKM supaya melaksanakan program penempatan sementara yang teratur dan segera dari Semenanjung dengan memberi keutamaan kepada fasiliti kesihatan yang mengalami kekurangan petugas dan beban kerja paling kritikal,” katanya. 

Dr Brandon berkata penempatan perlu merangkumi tempoh penggiliran yang jelas, tambang perjalanan dan penginapan yang ditanggung serta sokongan operasi yang mencukupi.

Beliau juga menyambut baik pengambilan khas KKM untuk mengisi 750 kekosongan jawatan pegawai perubatan tetap di seluruh Sabah dan Sarawak, namun berpandangan tarikh melapor diri yang dicadangkan, iaitu 15 Feb 2027 terlalu lama untuk menangani krisis itu.

Beliau berkata langkah jangka panjang perlu merangkumi pengembalian semula Bayaran Insentif Wilayah (BIW) berasaskan peratusan dan memperkukuh insentif bagi penempatan di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur. 

Langkah itu juga perlu menyediakan bantuan perpindahan dan penginapan yang selamat, memastikan tempoh penempatan yang jelas, urusan pertukaran yang telus dan peluang kemajuan kerjaya.

Beliau juga menggesa tindakan bersepadu melibatkan KKM, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan serta Kerajaan Negeri Sabah untuk menangani kekurangan petugas menerusi peruntukan, insentif dan sokongan praktikal sewajarnya kerana tindakan segera penting untuk melindungi pesakit dan menjaga kebajikan doktor di negeri itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement