Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), sudah masak dengan kelebihan dan kelemahan lawan di suku akhir Piala AFC, South China, ia bagaikan petanda baik dalam misi mereka mengekalkan kejuaraan dalam saingan itu.

Kejayaan memastikan gelaran juara Liga Super musim ini turut memberi ruang buat pemain mengalihkan tumpuan kepada cabaran lebih sukar.

"Kami mahukan keputusan yang baik di Hong Kong sebagai bekalan kami di tempat sendiri.

"Saya harap kami dapat kekalkan momentum keputusan baik yang telah kami lakukan.

"Kami akan ikut segala arahan taktikal jurulatih. Saya mahu kami sebagai pemain, kekalkan disiplin yang tinggi kerana corak persembahan juga penting," tegas kapten pasukan, Safiq Rahim.

Pertalian terdekat antara JDT dan kelab Hong Kong itu adalah menerusi ketua jurulatih mereka, Mario Gomez, yang pernah mengendalikan South China.

Tidak cukup dengan itu, pembantu Gomez, Raul Longhi berkesempatan mengkaji perkembangan mereka secara dekat hasil tugasan memantau Soutn China sebelum kemenangan 3-0 JDT ke atas Terengganu, 9 September lalu.

Saingan edisi 2015 itu turut menyaksikan JDT menewaskan South China menerusi agregat 4-2, juga ketika di peringkat suku akhir.

"South China memiliki tiga atau empat pemain yang bagus.

"Pemain berjersi nombor lapan mereka (Mahama Awal) kalau anda masih ingat, penyerang mereka, Nikola Komazec, mempunyai ketinggian dan kaki yang berbahaya.

"Apa yang penting adalah pasukan kami, kami harus memberi kepada tumpuan dan bercita-cita yang hebat," katanya.

Pertemuan dengan South China esok akan berlangsung pada hari esok, jam 7.50 malam.