Lebih kurang 91.7 peratus rakyat Kelantan menyokong pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah di negeri itu, kata ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH), Dr Azhar Abdullah.

Malaysiakini melaporkan, Dr Azhar berkata satu kaji selidik telah dilakukan di kalangan rakyat negeri tersebut tahun lepas.

“Kita telah buat kajian melalui pesanan ringkas SMS kepada rakyat Kelantan yang mana kita menghantar lebih kurang 77 ribu SMS kepada responden.

“Soalan kepada responden ialah kerajaan Kelantan patut terus atau tidak (hudud). Semua 29 DUN telah kita hantar SMS dan keputusannya adalah 91.7 peratus amat menyokong," Dr Azhar dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.

Bercakap dalam satu forum hudud anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya malam tadi, Dr Azhar berkata, hasil kaji selidik itu menggambarkan hasrat rakyat Kelantan yang begitu tinggi terhadap perlaksanaan hudud.

Katanya, kelulusan rang undang-undang pindaan hudud Kelantan menunjukkan negeri itu terlalu melangkah ke depan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

“Ini satu sikap proaktif Kelantan, walaupun satu peratus peluang, kita ada semangat untuk menerokai sesuatu yang tak pernah lakukan dalam Malaysia.

“Sejak kita merdeka, kita kena akui bahawa kita tidak pernah ada suatu undang-undang hudud. Jadi kita telah membuka satu lembaran baru dalam bidang perundangan untuk kita bincangkan satu isu yang kita tidak pernah ketengahkan,” katanya.

Jelas beliau, Kelantan akan mengikut proses demokrasi berparlimen dan memelihara semangat federalism dalam memperjuangkan undang-undang hudud.

Selain Dr Azhar, forum tersebut mengundang ahli panel lain terdiri dari bekas pengerusi Majlis Peguam, Datuk S Ambiga; Exco Pemuda Umno, Fathul Bari dan Dekan Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Prof Nazari Ismail dan Pensyarah Kanan UM, Siti Zubaidah Ismail.