Proses bedah siasat remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin,15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu di sebuah pusat peranginan di Pantai Hill, Nilai masih berjalan sehingga petang ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, proses bedah siasat berkenaan dijangka selesai sekitar jam 8 malam ini.

“Ketika ini bedah siasat dianggarkan dua jam lagi, jadi kita tunda waktu sidang media kepada jam 8 malam ini.

“(Pasukan patalogi) maklumkan anggaran dua jam lagi dan sekiranya hasil laporan awal bedah siasat selesai, kita akan kongsi kepada media dalam sidang media malam ini,” katanya ringkas kepada media di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tunku Ja’afar (HTJ) di sini.

Terdahulu, petugas media dimaklumkan sidang media akan dijalankan pada jam 5 petang selepas enam jam proses bedah siasat dijalankan yang bermula sekitar jam 11 pagi tadi.

Pada Selasa, mayat Nora Anne tiba di Jabatan Perubatan Forensik itu pada jam 7.07 malam selepas dibawa dengan helikopter yang mendarat di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V, Seremban pada kira-kira 6.45 petang.

Mayat kemudian dibawa dengan van Angkatan Pertahanan Awam serta diiringi sebuah kereta peronda polis dan dua anggota polis trafik yang menaiki dua motosikal.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, di sini, oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.