MANILA: Pemimpin ASEAN dijadual membincangkan bagaimana blok dianggotai 11 negara itu mampu menterjemahkan komitmen daya tahan bencana peringkat serantau dan global kepada pelaksanaan, sepanjang Persidangan Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Daya Tahan Bencana (AMCDR) selama dua hari yang bermula pada 15 Sept di Manila, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Satu kenyataan media yang disiarkan di portal ASEAN 2026 pada Ahad malam memaklumkan pegawainya akan meneliti isu pengurangan risiko bencana, kesiapsiagaan, tindakan awal, tindak balas kecemasan, pemulihan, pembiayaan, inovasi serta daya tahan keseluruhan masyarakat.
AMCDR merupakan acara teras bagi Kepengerusian ASEAN 2026 yang disandang Filipina, dan dirangka khusus bagi menangani satu daripada cabaran paling berterusan serta menelan kos tinggi di rantau ini iaitu pendedahan kepada ancaman bencana.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa rantau ini “terletak di dalam Asia-Pasifik, iaitu rantau yang paling terdedah kepada bencana di dunia”; justeru cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan negara anggota merangkumi “taufan, banjir, gempa bumi, kemarau dan cuaca melampau yang semakin buruk berikutan perubahan iklim.”
Bahaya berkenaan, menurut kenyataan itu, “semakin berkait dengan pembandaran pesat, kemerosotan alam sekitar serta tekanan lain, sekali gus mewujudkan risiko sistemik, melata dan berganda.”
Ia turut menekankan bahawa “risiko yang dihadapi melangkaui mana-mana bencana secara individu” memandangkan rantau ini “mewakili antara rantau ekonomi paling dinamik di dunia, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi US$3.6 trilion dan populasi lebih 670 juta jiwa.”
“Sebagai hab utama bagi perdagangan, pembuatan dan pelaburan global, gangguan akibat bencana boleh memberi kesan rantaian terhadap rantaian bekalan dan pasaran melangkaui Asia Tenggara. Justeru, memperkukuh ketahanan bencana adalah penting bagi pembangunan mampan, keselamatan ekonomi dan kestabilan serantau,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-PNA