SUNGAI PETANI: Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua

Itu perumpaan yang boleh disamakan dengan nasib dua ‘runner’ yang ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda ketika sedang melarikan ketum seberat hampir satu tan yang dianggarkan bernilai RM14,250.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, hasil maklumat awal mendapati, kedua-dua lelaki yang berusia 41 dan 30 tahun itu sepatutnya menghantar daun ketum ke Changlun dari Pendang dengan bayaran upah RM1,000.

Namun, selepas menerima maklumat awal berhubung tindakan pihak berkuasa,  kedua-dua suspek yang risau mengambil keputusan untuk membawa lori dengan muatan daun ketum itu berpatah balik ke rumah mereka di Sungai Petani.

Bagaimanapun, kata Anuar, polis berjaya menahan kedua-dua lelaki di Taman Batik, Sungai Petani sekitar 2.30 pagi pada Jumaat (1 April) lalu.

"Polis berjaya menangkap dua lelaki serta merampas 95 bungkusan plastik hitam, setiap satu mengandungi daun hijau yang disyaki daun ketum bernilai RM14,250.

"Tangkapan yang dibuat itu masing masing berusia 41 tahun dan 30 tahun, juga turut dirampas sebuah lori jenis Nissan.

"Hasil semakan lampau didapati suspek yang berumur 41 tahun mempunyai dua rekod lampau iaitu Seksyen 47 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan manakala suspek yang berusia 30 tahun mempunyai dua rekod lampau iaitu Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4B Akta Judi 1983"

Anuar menjelaskan, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali.