KUALA LUMPUR: Eskayvie Sdn Bhd dan Universiti Malaya (UM) menjalinkan kerjasama strategik bagi menjalankan kajian klinikal terhadap Mindtropic, produk nutrisi minda keluaran Eskayvie.
Kerjasama menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) itu bertujuan menilai keberkesanan formulasi lengkap Mindtropic dalam aspek prestasi kognitif, daya tahan terhadap tekanan, fungsi sistem saraf autonomi dan kualiti tidur.
Pengarah Urusan Eskayvie, Datin Dr Kartika Wati Mohamed berkata, selepas 17 tahun membangunkan syarikat itu, penyelidikan terus diberi keutamaan bagi meningkatkan mutu produk serta mendapatkan bukti saintifik yang lebih menyeluruh.
“Bagi Eskayvie, kepercayaan pengguna ini adalah amanah yang sangat besar. Sebab itu, kami bukan sekadar nak mengatakan produk kami baik, tapi kami mahu membuktikan yang melalui penyelidikan saintifik.
“Jadi dengan kerjasama dengan Universiti Malaya ini, kami mahu menilai keberkesanan produk Mindtropic secara objektif dan sistematik.
"Ini selari dengan visi Eskayvie memperkasakan ekonomi dan kesihatan rumah serta komitmen kami untuk membangunkan produk yang berkualiti, bertanggungjawab dan disokong oleh bukti sangat baik,” katanya ketika ditemui pada majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaya (UM) & Eskayvie di Bangunan Canseleri, Universiti Malaya, di sini, pada Selasa.
Menurut Kartika Wati, kerjasama itu turut mencerminkan hasrat Eskayvie untuk berkembang sebagai syarikat inovasi kesihatan berasaskan sains, inovasi dan impak menerusi penubuhan Eskayvie Research & Innovation Centre.
“Eskayvie mahu berkembang daripada sekadar syarikat membuat produk kesihatan kepada syarikat inovasi kesihatan yang berasaskan sains, inovasi dan impak.
“Sebab itu kami menubuhkan Eskayvie Research & Innovation Centre dan menjalankan kerjasama dengan institusi seperti Universiti Malaya.
"Kami percaya kerjasama antara industri dan akademik penting untuk menghasilkan inovasi kesihatan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Penyelidikan & Inovasi Eskayvie, Datuk Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, pembangunan Mindtropic mengambil kira kaitan antara fungsi kognitif, tindak balas terhadap tekanan dan kualiti tidur.
Beliau berkata, kajian klinikal itu akan menilai keberkesanan formulasi lengkap Mindtropic secara menyeluruh, termasuk sama ada gabungan bahan yang digunakan menghasilkan kesan sinergi.
“Dalam ujian ini sebenarnya kita nak membuktikan bahawa kombinasi dalam formulasi ini akan memberikan kesan sinergistik yang lebih baik daripada just satu produk,” jelasnya.
Menurutnya, pendekatan berasaskan penyelidikan penting bagi memastikan pemilihan bahan dalam formulasi dibuat berdasarkan penyelidikan dan mekanisme tindakan yang diketahui.
Kajian klinikal itu akan dijalankan bersama Clinical Investigation Centre (CIC), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan penglibatan pasukan penyelidik UM mengikut protokol yang diluluskan serta piawaian penyelidikan klinikal yang ditetapkan.
Turut hadir Naib Canselor, Professor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, Duta Eskayvie, Datuk Aznil Nawawi serta barisan penyelidik dan wakil daripada kedua-dua organisasi.
Kerjasama itu diharap dapat memperkasa asas penyelidikan Mindtropic, selain membuka ruang kepada kajian lanjutan dan penerbitan saintifik bagi menyokong pembangunan produk kesihatan tempatan.
Inisiatif itu turut menjadi kesinambungan kepada Eskayvie Research & Innovation Centre yang memberi tumpuan kepada kajian klinikal, pembangunan formulasi, pendidikan kesihatan awam serta penerokaan teknologi kesihatan baharu.
Usaha itu juga sebahagian daripada aspirasi Eskayvie untuk memperkukuh produk kesihatan tempatan berasaskan sains, sekali gus membawa inovasi tempatan melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa.