Skip to main content
Advertisement

Malaysia

USCGC Bertholf, APMM terus perkukuh kerjasama maritim

RAPHAEL SADOWITZ
Penasihat Pengawal Pantai Serantau di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Komander Raphael Sadowitz berkata, kerjasama itu akan melibatkan USCGC Bertholf dan kapal APMM di perairan terbabit. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KLANG: Kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCGC) Bertholf dijangka meneruskan kerjasama maritim dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kota Kinabalu selepas berlepas dari Pelabuhan Klang esok.

Penasihat Pengawal Pantai Serantau di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Komander Raphael Sadowitz  berkata, kerjasama itu akan melibatkan USCGC Bertholf dan kapal APMM di perairan terbabit.

“Kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCGC) Bertholf berada di sini sebagai sebahagian daripada Western Pacific Patrol atau WESTPAC.

“Misi utama kami adalah untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan pengawal pantai kami di rantau ini, khususnya di Malaysia menerusi kerjasama dengan APMM.

“Semalam, mereka mengadakan sesi pertukaran kepakaran berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan turut berpeluang meninjau aset udara tanpa pemandu VBAT kami.

“Selepas berlepas dari sini, kami berharap dapat meneruskan kerjasama di laut bersama kapal APMM di perairan Kota Kinabalu,” katanya.

USCGC Bertholf tiba di Malaysia bagi lawatan pelabuhan selama empat hari sebagai sebahagian daripada penugasan berterusan untuk memperkukuh kerjasama keselamatan dan hubungan dengan rakan serantau.

Kapal kelas Legend sepanjang 127 meter itu merupakan kapal keselamatan nasional terbesar dalam armada Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan membawa kira-kira 150 orang kru.

USCGC Bertholf telah berada dalam pelayaran selama kira-kira 80 hari selepas berlepas dari Alameda, California, Amerika Syarikat.

Kunjungan kali ini merupakan yang kedua buat USCGC Bertholf ke Pelabuhan Klang selepas kunjungan pertamanya pada 2024.

Must Watch Video

Advertisement