Skip to main content
Advertisement

Malaysia

ISWC26: Usia panjang ubah cara kita merancang persaraan - CEO KWSP

Sumber: Astro AWANI
Ahmad Zulqarnain berkata, bagi mereka yang memasuki usia persaraan pada 60 tahun, jangka hayat dianggarkan sekitar 80 tahun, namun sebahagian daripada kumpulan itu berkemungkinan hidup sehingga usia 82 atau 85 tahun. - Foto KWSP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia membawa cabaran baharu terhadap perancangan persaraan apabila seseorang yang bersara pada usia 60 tahun hari ini perlu bersedia membiayai kehidupan untuk sekurang-kurangnya 20 tahun lagi, malah berkemungkinan lebih lama.

Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn berkata, bagi mereka yang memasuki usia persaraan pada 60 tahun, jangka hayat dianggarkan sekitar 80 tahun, namun sebahagian daripada kumpulan itu berkemungkinan hidup sehingga usia 82 atau 85 tahun.

Situasi itu bermakna persediaan persaraan tidak lagi boleh hanya tertumpu kepada berapa banyak wang yang berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh bekerja, sebaliknya bagaimana simpanan itu diuruskan supaya mampu bertahan sepanjang tempoh persaraan.

"Dalam perancangan persaraan, tempoh bekerja merupakan fasa pengumpulan atau "accumulation phase", iaitu ketika seseorang mencarum dan mengembangkan simpanannya. Selepas bersara, individu memasuki fasa penggunaan simpanan atau "decumulation phase", apabila wang yang dikumpulkan selama puluhan tahun mula digunakan bagi membiayai kehidupan harian. 

"Fasa kedua itu perlu diberikan perhatian lebih besar, khususnya dalam memastikan simpanan persaraan dapat diterjemahkan kepada aliran pendapatan yang stabil dan tidak habis terlalu awal," katanya dalam sesi temu bual bersama Astro AWANI pada Rabu.

Tambah beliau, antara usaha ke arah itu ialah kemudahan i-EMAS yang membolehkan ahli memberikan arahan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat pembayaran secara bulanan selepas persaraan.

Pendekatan itu bertujuan menggalakkan masyarakat melihat simpanan persaraan sebagai sumber pendapatan bulanan, bukannya sekadar sejumlah wang besar yang boleh dikeluarkan dan dibelanjakan dalam tempoh singkat.

Bagaimanapun beliau berkata kemampuan membuat persediaan untuk persaraan turut berkait rapat dengan tekanan kos sara hidup dan tahap pendapatan semasa.

"Sebagai perbandingan, gaji permulaan sekitar RM1,800 pada 30 hingga 35 tahun lalu, jika berkembang pada kadar kira-kira tiga peratus setahun, sepatutnya berada sekitar RM5,000 atau lebih pada hari ini. 

"Namun, paras gaji permulaan sedemikian masih belum menjadi kebiasaan, sekali gus menunjukkan pertumbuhan pendapatan tidak semestinya bergerak seiring peningkatan kos kehidupan. Langkah seperti dasar gaji minimum dan gaji progresif dilihat penting dalam usaha meningkatkan pendapatan dan seterusnya keupayaan rakyat untuk menyimpan", katanya.

Menurut beliau, dalam masa sama, perubahan struktur pasaran pekerjaan turut membawa cabaran baharu terhadap sistem simpanan persaraan.

"Ekonomi gig kini bukan hanya membabitkan pemandu e-hailing atau penghantar makanan, tetapi turut merangkumi pembangun perisian, pempengaruh media sosial, pekerja bebas dan pelbagai bentuk pekerjaan baharu. 

"Walaupun sebahagian pekerjaan itu mampu menjana pendapatan yang munasabah, pekerjanya lazimnya tidak mempunyai mekanisme caruman KWSP secara automatik seperti pekerja formal," katanya lagi.

Tambah beliau, kemudahan seperti i-Saraan dan caruman sukarela menyediakan ruang kepada pekerja sendiri dan pekerja gig untuk membina simpanan persaraan.

Namun, dalam jangka panjang, Malaysia juga perlu melihat bagaimana lebih ramai pekerja gig, pekerja sektor tidak formal dan individu bekerja sendiri dapat dibawa ke dalam sistem simpanan persaraan secara lebih konsisten.

Perkara itu menjadi antara fokus perbincangan dalam International Social & Wellbeing Conference 2026 (ISWC 2026) yang melihat penuaan penduduk dan peningkatan jangka hayat sebagai cabaran global, bukan fenomena yang hanya dihadapi Malaysia.

Beliau turut menambah, pengalaman negara lain boleh menjadi rujukan dalam membangunkan pendekatan yang sesuai, pada masa sama Malaysia turut mempunyai pengalaman untuk dikongsikan menerusi sistem KWSP yang telah dibangunkan sejak lebih tujuh dekad lalu.

 

Must Watch Video

Advertisement