Hasrat seorang warga emas untuk menziarahi anak dan cucu tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Lunas, di sini, malam tadi.

Ketika kejadian, Abu Bakar Osman, 68 tahun, bersama isterinya Azizah Mahmud, 64 tahun, sedang dalam perjalanan ke rumah anaknya di Taman Makmur, dekat Lunas.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim, kejadian berlaku kira-kira jam 8 malam melibatkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba membelok memasuki simpang sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah kereta jenis Proton Perdana yang datang dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, Abu Bakar terpelanting ke tengah jalan manakala isterinya tercampak ke sebelah kiri bahu jalan.

Jelasnya, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kulim, bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 malam sebaik tiba di hospital.

Azhar berkata, mangsa maut disebabkan hentakan kuat di kepala ketika kemalangan manakala isteri mangsa hanya mengalami kecederaan luka dan lebam di badan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.