SYARIKAT penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines meraih anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia bersempena anugerah pelancongan antarabangsa Majlis Antarabangsa Persatuan Penulis Pelancongan Kawasan Pasifik (PATWA) 2019 di ITB Berlin.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines Izham Ismail berkata anugerah itu didedikasikan kepada pekerja syarikat itu yang komited dalam memberikan pengalaman penerbangan bertaraf dunia kepada penumpang mereka setiap hari.

"Ini adalah bukti komitmen kami dalam memberikan pengalaman hebat di darat dan udara kepada penumpang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan setia, Malaysia Airlines akan menawarkan 25 peratus potongan tambang ke destinasi terpilih termasuk Hong Kong dan Sydney.

Tawaran tersebut sah sehingga tengah malam 12 Mac 2019 untuk perjalanan sekarang dan 31 Mei 2019.

Pelanggan boleh menempah tiket mereka di mana-mana agensi pelancongan yang mengambil bahagian atau melalui laman web Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com.