KUALA LUMPUR: Sebuah helikopter milik Layang-Layang Aerospace yang membawa empat kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan seorang juruterbang dilaporkan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport) di Ulu Baram, Sarawak.
Insiden berlaku sekitar jam 3.40 petang, dengan helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF itu menghampiri landasan dalam keadaan bahagian atasnya terbakar.
Berdasarkan laporan awal, pasukan perubatan dan penyelamat tiba di lokasi sekitar jam 3.46 petang.
Operasi mencari dan menyelamat turut dilakukan bagi mencari jika ada penumpang yang terjun sebelum terhempas.
Difahamkan, helikopter itu berkhidmat sebagai doktor udara atau khidmat perubatan kecemasan, dengan callsign Medic 3.
Berdasarkan manifest penumpang, mereka yang berada di dalam pesawat tersebut merupakan seorang pegawai perubatan, dua jururawat dan seorang penolong pegawai perubatan.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan ringkas berkata, pihaknya menerima makluman dan mengesahkan mengenai kejadian itu sekitar pukul 3.58 petang.
Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan menurut kenyataan itu akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Bahagian 26 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Untuk rekod, perkhidmatan doktor udara melakukan penerbangan di 97 lokaliti di seluruh Sarawak, terutama di kawasan pedalaman Kapit, Miri dan Limbang yang tidak memiliki akses darat, atau terlalu jauh di pedalaman.