Skip to main content

Politik

PRN Melaka: PH akan perhalusi kekalahan, nilai semula strategi

Adly berkata, PH akan menilai keseluruhan pendekatan politik termasuk perancangan, manifesto dan aspirasi yang diketengahkan sepanjang kempen. - Astro AWANI
Adly berkata, PH akan menilai keseluruhan pendekatan politik termasuk perancangan, manifesto dan aspirasi yang diketengahkan sepanjang kempen. - Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Pakatan Harapan (PH) akan memperhalusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kemerosotan prestasi gabungan itu.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, keputusan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh dilakukan.

Menurutnya, penilaian itu turut mengambil kira keputusan pilihan raya terdahulu di Johor dan Negeri Sembilan bagi memahami perubahan landskap politik serta kecenderungan pengundi.

Advertisement

"Kita akan bawa ke mesyuarat Majlis Presiden dan saya fikir PH akan menjelaskan banyak perkara hasil daripada keputusan hari ini.

“Untuk Melaka kita akan bawa ke mesyuarat Majlis Presiden untuk kita teliti hasil daripada keputusan itu," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH hari ini.

Advertisement

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PH hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Empat kerusi berkenaan ialah Kota Laksamana, Kesidang, Ayer Keroh dan Bandar Hilir.

Keputusan itu turut menyaksikan PH kehilangan kerusi Bukit Katil yang sebelum ini disandang Adly kepada calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ridzuan Mohd Shariff.

Mengulas lanjut, Adly berkata, PH akan menilai keseluruhan pendekatan politik termasuk perancangan, manifesto dan aspirasi yang diketengahkan sepanjang kempen.

Beliau berkata, usaha menambah baik prestasi gabungan itu juga penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Bukan saja di Melaka, kita akan ada Pilihan Raya Umum yang akan datang dalam tempoh setahun.

“Kita akan berusaha untuk memastikan akan ada usaha-usaha untuk kita menambah baik prestasi kita," katanya lagi.

Dalam pada itu, Adly berkata, analisis khusus mengenai pola pengundian termasuk kecenderungan generasi muda akan dilaksanakan bagi mengenal pasti faktor yang mempengaruhi sokongan terhadap PH.

Menurutnya, dapatan berkenaan akan menjadi asas dalam usaha membentuk semula keyakinan masyarakat terhadap gabungan itu.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama politik baharu selepas PRN Melaka, Adly berkata, PH belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Untuk hari ini kita belum ada sebarang keputusan. Itu nanti kita akan bincangkan pada masa yang akan datang. Ruang untuk kita ada pelbagai. Nanti kita akan putuskan," katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement