Skip to main content

Dunia

Anwar tiba di Manila, ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada 8 malam. - Bernama
Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada 8 malam. - Bernama
Advertisement

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Manila, Filipina, pada Sabtu bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula Ahad hingga Rabu ini.

Pesawat khas yang membawa Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selamat mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Amran Mohamed Zin dan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Advertisement

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri bagi pihak kerajaan Filipina ialah Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina (DILG), Sec. Juanito Victor “Jonvic” C. Remulla Jr.

Sementara itu, menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan serantau, merapatkan persefahaman serta memperluas kerjasama demi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama.

Advertisement

Beliau turut memohon doa rakyat Malaysia agar segala urusan sepanjang misi berkenaan dipermudah, selain berharap penyertaan negara pada sidang kemuncak itu membuahkan hasil bermakna kepada Malaysia dan seluruh rantau ASEAN.

Anwar dijadual menyertai Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, esok, sebelum menghadiri tiga sesi libat urus pemimpin ASEAN bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) serta wakil Belia ASEAN.

Pada Isnin, beliau dijadual menghadiri empat sidang kemuncak bersama rakan dialog ASEAN, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-29, ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-16, ASEAN-Australia Ke-6 dan ASEAN-Republik Korea Ke-27.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke tanah air pada petang hari sama bagi menyambut lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron, pada pagi Selasa, sebelum kembali semula ke Manila pada petang hari berkenaan.

Sekembalinya ke Manila, Anwar akan menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Ke-12 serta majlis makan malam rasmi yang dihoskan Presiden Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr.

Sepanjang ketiadaan Perdana Menteri, Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga Ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) Ke-4, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, ASEAN-India serta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ke-21.

Selain menghadiri persidangan, Anwar turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara anggota ASEAN di sela-sela sidang kemuncak berkenaan.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan.

Must Watch Video

Advertisement