MELAKA: Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan bedah siasat secara mendalam dan terbuka susulan prestasi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, semua parti komponen PH perlu memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan pilihan raya berkenaan.
Menurutnya, penelitian menyeluruh akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan serta merangka langkah penambahbaikan untuk memperkukuh gabungan itu.
"PH adalah satu pasukan dan kami memikul tanggungjawab bersama atas keputusan PRN ini.
"Kami juga akan mengadakan sesi bedah siasat yang mendalam dan terbuka bersama semua parti komponen PH bagi mengenal pasti segala kelemahan dan mengambil langkah penambahbaikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat DAP Melaka, di sini, hari ini.
Keputusan PRN Melaka menyaksikan DAP mempertahankan empat kerusi DUN iaitu Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.
Bagaimanapun, PH gagal merampas kerusi Pengkalan Batu dan Duyong daripada Barisan Nasional (BN), selain kehilangan kerusi Bukit Katil kepada Perikatan Nasional (PN).
Poay Tiong yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, DAP menghormati keputusan pengundi dan menganggap setiap undi sebagai dorongan untuk meneruskan perjuangan parti itu.
Beliau memberi jaminan DAP Melaka akan terus memainkan peranan semak dan imbang, sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, kedudukan PH sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan turut membolehkan usaha memperjuangkan kepentingan rakyat diteruskan.
"Saya selaku Ahli Parlimen Kota Melaka bersama pasukan DAP yang dipilih akan melipatgandakan usaha memainkan peranan semak dan imbang, sama ada di dalam mahupun di luar DUN.
"Kami akan terus berkhidmat kepada rakyat, menyuarakan suara mereka serta memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Poay Tiong merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberikan kepercayaan kepada PH sepanjang pilihan raya berkenaan.
Tegasnya, kepercayaan yang diberikan tidak akan disia-siakan, sebaliknya menjadi dorongan untuk DAP terus memperkukuh khidmat kepada rakyat.