KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta supaya tidak membuat sebarang tuduhan dan mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas berhubung dakwaan fitnah terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) dalam kenyataan memaklumkan serangan sebegini akan mendatangkan implikasi negatif kepada institusi KSN dan perkhidmatan awam serta menjejaskan kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

"Bagi membendung perkara ini daripada terus berlaku, PPTD berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan bagi menyiasat perkara ini.

"PPTD juga berharap agar tohmahan dan fitnah terhadap penjawat awam terutamanya jawatan utama perkhidmatan awam tidak berlaku lagi," menurut kenyataan itu hari ini.

Dalam hal ini, PPTD dan ahli akan terus komited untuk menyokong kerajaan Madani yang telah diberikan kepercayaan dalam mentadbir negara dan kesinambungan sistem pentadbiran negara terus diperkukuh dan dimantapkan.

"PPTD juga menyeru agar semua ahli dan pegawai PTD untuk terus fokus dan mengekalkan profesionalisme dalam menjalankan tanggungjawab mentadbir negara serta menerapkan nilai integriti dalam perkhidmatan," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, dakwaan itu ditularkan seorang pengguna media sosial melalui platform X, bagaimanapun semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa siasatan telah dijalankan terhadap KSN Tan Sri Mohd Zuki Ali.

-- BERNAMA