GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak tepat berhubung kematian seorang jururawat yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP), Rabu lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Asmayani Khalib, berkata penularan berita yang tidak sahih itu perlu dihentikan bagi mengelakkan salah tanggapan orang ramai terhadap vaksin COVID-19.

Asmayani berkata, jururawat berusia 45 tahun itu dilaporkan stabil selepas menerima suntikan vaksin Comirnaty pada 12 Mac lalu dan tidak menunjukkan sebarang kontraindikasi ketika pemerhatian di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Beliau kemudian dilaporkan sudah bekerja mengikut syif dan hanya mengadu lenguh pada tempat suntikan iaitu pada tangan kiri.

"Berdasar rekod perubatan, wanita itu mempunyai komorbiditi penyakit darah tinggi kronik dan beliau mengadu kepada suaminya yang dirinya tidak selesa bernafas pada Selasa lepas

''Bagaimanapun dia tidak mendapatkan sebarang rawatan perubatan atau melaporkannya kepada pasukan PPV," kata Asmayani dalam kenyataan pada Jumaat.


Kes Kematian | Jururawat meninggal dunia kerana sakit jantung

BACA: Jururawat meninggal dunia akibat serangan jantung, bukan vaksin COVID-19 - KP Kesihatan

Dr Asmayani berkata , laporan bedah siasat menunjukkan kematian jururawat itu disebabkan serangan jantung dan tiada tanda anafilaksis atau reaksi alergi dan kematiannya tiada berkaitan dengan vaksin COVID-19.

Pada Rabu, seorang jururawat yang menerima suntikan vaksin COVID-19 pada minggu lalu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Bandar Seri Astana, Sungai Petani.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan kematian jururawat yang bertugas di Hospital Pulau Pinang itu disahkan tidak mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin berkenaan.