KUALA LUMPUR: Proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sedang dijalankan setelah bacaan tahap 0 Ton sebanyak tiga kali berturut-turut direkod pada jam 6 pagi Sabtu.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataannya pagi ini henti tugas di LRA tersebut terpaksa dilakukan agar air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna.

"Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Kesemua kawasan yang terjejas adalah sama seperti senarai kawasan gangguan air tidak berjadual baru-baru ini.

"Para pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor."

Selain itu, Air Selangir turut memaklumkan sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas dan premis-premis kritikal sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna.

Terdahulu, lima daerah di Selangor dilapor berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual dalam tempoh tiga hari sejak masalah sama berlaku Selasa lalu.

Ini susulan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada jam 5.15 petang, pada Jumaat.

BACA: 463 kawasan di Selangor, Putrajaya dijangka alami gangguan bekalan air sekali lagi

Tindakan itu terpaksa diambil pihak pengurusan LRA berkenaan berikutan insiden pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Semenyih.


Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, Selasa lalu dilaporkan berkata 463 kawasan di lima daerah sama mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Semenyih dihentikan tugas akibat pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Pencemaran dikesan pada jam 11.10 pagi itu menjejaskan bekalan air di 172 kawasan di Petaling, manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).