KUALA LUMPUR : 'Peperangan' dan polemik politik ketika ini hanya akan merugikan negara dan sama sekali tidak membantu rakyat dalam kesusahan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya negara ketika ini berdepan dengan agenda yang lebih besar iaitu untuk melawan COVID-19 selain mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat yang terbeban akibat pandemik itu.

"Sudah berulang kali saya katakan, tidak kira dari parti mana sekalipun, fokus kita kepada isu mendesak sekarang ini iaitu COVID-19, isu rakyat tiada pendapatan... Ini masalah lebih besar daripada apa yang bising hari ini.

"Sebab itu saya kata, lupakan peperangan dalam politik, yang penting kita kena bersama tidak kira dari parti mana, bantu menyelesaikan masalah rakyat," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di AXIATA Arena di Bukit Jalil petang Sabtu.


[TERKINI] Mesyuarat Khas Parlimen Isnin ini ditangguh

Tambah beliau, adalah tidak wajar mana-mana pihak untuk mengutamakan kepentingan agenda politik masing-masing ketika ini.

Sebaliknya beliau berpandangan, semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang perlu berganding bahu mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Tetapi pada hari khamis (Mesyuarat Khas Parlimen) berperang dari pagi. Tak sempat nak bahas apa yang patut kita bantu rakyat dalam keadaan waktu susah hari ini.

“Sebab tu saya kata, lupakan peperangan dalam politik hari ini dan yang pentingnya kita kena bersama-sama tak kira parti. Yang pentingnya parti manapun saya percaya tugas mereka membantu rakyat," jelasnya.