KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 26 hari lagi, Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-66, menandakan sudah lebih enam dekad rakyat menikmati kebebasan dan keamanan sejak laungan keramat "Merdeka" bergema di Padang Kelab Selangor.

Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang bermula di seluruh negara pada 16 Julai lepas, membuatkan kemeriahan sambutan sedikit sebanyak mula dirasai meskipun masih ramai dalam kalangan masyarakat dilihat belum turut mengibarkan Jalur Gemilang bagi menzahirkan semangat patriotisme mereka.

Berdasarkan tinjauan Bernama di enam negeri hari ini, hanya bangunan serta pejabat kerajaan dan swasta, taman awam, sekolah, premis perniagaan dan beberapa jalan utama dihiasi dengan Jalur Gemilang pelbagai saiz.

Di Kuala Lumpur, kibaran Jalur Gemilang dilihat lebih tertumpu di bangunan kerajaan, sekolah, taman awam dan sebahagian jalan utama seperti Jalan Raja Laut dan Jalan Kuching, manakala di rumah atau kawasan kediaman dilihat belum begitu menggalakkan selain hanya sebilangan pasar raya dan kedai yang menjual bendera.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Malaysia Raya Mohd Zainuddin Amran berpendapat sambutan yang kurang meriah mungkin disebabkan dalam keadaan ekonomi sekarang orang ramai tidak menjadikan membeli bendera sebagai keutamaan berbanding barangan keperluan lain.

Pegawai kerajaan Adham Muhammad pula berkata seiring dengan kemajuan teknologi, cara rakyat menzahirkan semangat patriotisme hari ini telah berubah dan bukan sekadar tertumpu kepada kibaran Jalur Gemilang sahaja.

"Contohnya, jika ada isu seperti orang luar memburukkan Malaysia di laman sosial, ramai netizen kita 'menyerang' dan mempertahankan imej negara melalui tulisan dan video sebagai respons. Inilah cara baharu orang kita menunjukkan cinta dan kasih kepada negara," katanya.

Di Perlis pula, Jalur Gemilang mula menghiasi bangunan kerajaan dan swasta serta kedai di sekitar bandar Kangar sejak awal bulan ini walaupun masih kurang kelihatan dipasang di rumah atau kawasan kediaman.

Ini diakui penjawat awam, Norhafizah Saidin, 52, yang memaklumkan hanya dapat menggantung sehelai bendera kerana kawasan rumahnya yang sempit.

Situasi sama juga berlaku di Pahang, apabila kebanyakan premis kediaman dan perniagaan sekitar Kuantan dilihat belum mengambil inisiatif untuk mengibarkan bendera di premis masing-masing bagi menzahirkan semangat kecintaan kepada negara.

Pekerja swasta, Mohd Azizi Alauddin, 33, berkata beliau hanya melihat Jalur Gemilang dipasang di tiang lampu dan bulatan jalan sepanjang perjalanan ke pejabat di bandar menggunakan laluan Pintasan Kuantan.

"Mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mewajibkan semua premis perniagaan memasang bendera. Tahun lepas, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memaklumkan premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikompaun menyebabkan kibaran bendera meriah di sana sini," katanya.

Sementara itu, anak jati Kuantan, Tan Wai Wai , 40, berpandangan kibaran yang 'lesu' di kawasan perumahan dan perniagaan mungkin kerana masih berada di minggu pertama Ogos, menyebabkan ramai belum menggantung bendera.

"Mungkin lebih ramai akan mengibarkan Jalur Gemilang bermula pertengahan bulan ini...untuk kawasan perumahan, pihak berkaitan boleh mengagihkan bendera percuma kepada mereka," katanya.

Di Johor, kemeriahan kibaran bendera masih belum dirasai memandangkan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri di semua premis pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya akan bermula pada 15 Ogos ini.

Di Perak, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata beliau telah meminta pemilik premis perniagaan dan persendirian mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing bermula 1 Julai hingga 30 Sept depan.

Katanya ini bagi melengkapi inisiatif kerajaan negeri yang akan memasang 7,000 Jalur Gemilang di sekitar bandar raya Ipoh dan kerja pemasangannya kini sedang giat dijalankan.

Seorang penduduk, Tazar Alang Ibrahim, 63, pula telah mengambil inisiatif membina replika helikopter, meriam, kereta kebal, bot, wau dan kapal terbang yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Kesemua replika yang dihasilkan dengan modal RM500 itu, menggunakan bahan terpakai seperti tayar serta besi dan dipamerkan di hadapan bengkelnya di Jalan Tasek, Ipoh.

Sementara itu, di Melaka, proses pemasangan Jalur Gemilang di luar dan dalam bangunan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ) giat dilakukan, selain jalan-jalan utama di Lebuh Ayer Keroh dan Seri Negeri juga meriah dengan kibaran bendera kebanggaan negara itu.

"Selebihnya sama ada di premis perniagaan atau bangunan, ia akan dipasang secara berperingkat. Kami juga akan pastikan premis di bawah PBT kami memasang bendera bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan," kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPTHJ) Datin Sapiah Haron.

-- BERNAMA