SINTOK: Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) Abdul Rahman Muhamad Rashidi yang disahkan menghidap kanser tulang tahap empat berjaya menamatkan pengajian dan berharap situasinya menjadi inspirasi kepada yang lain untuk tidak berputus asa walau berdepan ujian sukar.

Pada mulanya, graduan yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains (Matematik Perniagaan) ini mengalami sakit berpanjangan di lutut kiri menyebabkan beliau sukar tidur malam.

Beliau disahkan menghidap kanser pada bulan Mei 2021 dan ketika itu, beliau masih mengikuti pengajian di UUM.

Hasil ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mengesahkan terhadap ketumbuhan di kaki beliau menyebabkan sebahagian kaki kiri dipotong bagi mengelak kanser merebak.

Sejak itu, Abdul Rahman menggunakan kaki palsu bagi meneruskan kehidupan termasuk berusaha meneruskan pengajiannya.

Dalam tempoh kurang setahun, beliau sekali lagi ditimpa ujian apabila sel kanser dikesan merebak hingga ke bahagian paru-paru kiri menyebabkan dia sukar bernafas.

Beliau kini lumpuh dari bawah perut hingga ke kaki sejak Ogos lalu apabila sel kanser menekan saraf tunjang.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan sempat menziarahi Abdul Rahman di kediamannya di Cheras pada awal November lalu sebelum berlangsungnya Majlis Konvokesyen ke-36.

Menurut Dr Mohd Foad, Abdul Rahman sangat tabah berdepan ujian getir pada usia muda dan beliau sangat teruja untuk menerima ijazah sempena Majlis Konvokesyen ke-36 selepas berjaya menamatkan pengajian dengan purata markah keseluruhan 3.62.

Disebabkan keadaan kesihatan Abdul Rahman yang tidak mengizinkan beliau hadir secara fizikal ke majlis berkenaan, dia diwakili bapanya Muhamad Rashidi Sabudin yang naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah yang disampaikan Naib Canselor UUM pada sesi kelima konvokesyen.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah ibu Abdul Rahman iaitu Mahirah Mohd Sood.

Menurut Dr Mohd Foad, seluruh warga UUM mendoakan kesihatan Abdul Rahman kembali pulih dan pastinya mengikut perjalanan majlis konvokesyen kali ini dari jauh.