Usaha keras yang dilakukan oleh ahli keluarga seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak empat hari lepas berakhir dengan kekecewaan apabila mayatnya berhampiran Kilometer 27, Fasa II Jalan Raya Timur Barat Gerik-Kupang pada petang Selasa.

Mangsa Arif Akmal Kamaruzzaman, 20 ditemui oleh ahli keluarganya yang mula mencari sejak Jumaat lepas bersama seorang lagi mayat penumpang lelaki dipercayai rakannya, An Pon a/l Ai Pon, 26 di kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superitendan Ismail Che Isa berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berasal dari Sik,Kedah itu dilaporkan hilang dan dipercayai terlibat dalam sebuah kemalangan sekitar 11 malam pada Jumaat lepas.

"Kedua-dua mangsa ditemui oleh orang ramai dan waris yang sedang dalam proses mencari mereka di sekitar jalan raya di Kelantan dan Gerik.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu mangsa menuju dari arah Gerik ke Kupang sebelum dipercayai laju dan terbabas ke kawasan berumput di kiri jalan.

"Kenderaan tersebut kemudian terjunam jatuh ke dalam gaung sedalam 100 meter, di mana pemandu telah tercampak sejauh 50 meter dari kenderaan manakala penumpang tercampak sejauh 25 meter,"katanya kepada pemberita.

Jelas Ismail, susulan laporan itu pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gerik telah membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa masing-masing pada pukul 3.30 petang dan 5.20 petang.

"Siasatan perubatan mendapati kedua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan kondisi mayat turut membengkak,"ujarnya lagi.

"Kami akan teruskan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"ujarnya lagi.