KUCHING: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memastikan keselamatan sempadan negara di Sarawak sentiasa diperkukuhkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam kenyataannya berkata ia merupakan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan atur gerak dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sarawak ditingkatkan dari masa ke masa.

Menurutnya kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak menjadi teras utama dalam usaha memelihara keselamatan di negeri itu.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada Rabu.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu, pelbagai perkara dibincangkan termasuk jalinan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.

Antara perkara yang diketengahkan termasuk komitmen kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pertahanan meningkatkan aset dan kekuatan anggota di Bumi Kenyalang.

Difahamkan Hishammuddin dalam rangka lawatan kerja sehari di Sarawak sebelum meneruskan lawatannya di Sabah esok.