KUALA NERUS: Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) telah memulakan operasi klinik-klinik pakar dan perkhidmatan sokongannya pada 1 Ogos lepas, sekali gus berupaya membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan buat penduduk di Terengganu.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata pengoperasian klinik pakar dan perkhidmatan sokongan itu juga dapat membantu mengurangkan kesesakan pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

"Saya percaya akan wujud kerjasama dan pihak universiti bersedia melalui hospitalnya (HPUniSZA) untuk membantu menangani cabaran yang dihadapi hospital besar (HSNZ)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pengoperasian Perkhidmatan Klinik Pakar Pesakit Luar HPUniSZA di HPUniSZA di sini hari ini.

Katanya antara klinik dan perkhidmatan sokongan yang dibuka kepada orang awam adalah Klinik Perubatan Dalaman, Klinik Ortopedik, Klinik Oftalmologi, Jabatan Farmasi, Jabatan Pengimejan Perubatan dan Jabatan Patologi.

Selain itu katanya perkhidmatan kardiologi (Pediatrik) juga telah dibuka kepada orang awam dengan kerjasama Institut Jantung Negara melalui kes-kes rujukan daripada HSNZ dan Hospital Universiti Sains Malaysia.

Dalam pada itu Khaled berkata HPUniSZA akan mula beroperasi sepenuhnya termasuk perkhidmatan wad pada suku kedua tahun depan, selepas HPUniSZA menerima peralatan rawatan yang lengkap.

Mengulas lanjut, beliau berkata hospital pengajar di Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak dijangka siap tahun depan selepas berlaku kelewatan selama dua tahun.

"Pembinaan sedang berlangsung. Isu yang dihadapi adalah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan Sabah serta Sarawak ada isu pekerja, selain harga bahan binaan di sana yang berbeza daripada sini," katanya.

-- BERNAMA