KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan supaya konsesi pembekalan kenderaan kerajaan ditawarkan kepada syarikat lain mengikut kategori kenderaan bagi memecahkan monopoli syarikat konsesi tunggal.
Pengerusi PAC Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata kategori kenderaan yang boleh ditawarkan kepada syarikat lain termasuk van, bas, kenderaan pacuan empat roda, ambulans dan motosikal.
Cadangan itu merupakan antara tiga cadangan tambahan PAC bagi menambah baik pengurusan kenderaan konsesi kerajaan, susulan pembentangan Penyata Tindakan Susulan PAC berhubung Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi di Dewan Rakyat hari ini.
Mas Ermieyati berkata kerajaan juga perlu memuktamadkan dan menguatkuasakan Perjanjian Tambahan dengan SPANCO Sdn Bhd bagi mengurangkan kos pajakan kenderaan serta kos penyelenggaraan berlebihan akibat penggunaan kenderaan melebihi tempoh pajakan.
Beliau berkata siasatan PAC terhadap pengurusan kenderaan kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi 2 selama 15 tahun antara Kementerian Kewangan (MOF) dengan SPANCO mendapati kelemahan dalam pengurusan kontrak dan amalan tadbir urus telah menyebabkan kelewatan penggantian kenderaan yang tamat tempoh pajakan.
"Kelewatan itu menyebabkan kerajaan menanggung lebihan kos pajakan dan penyelenggaraan, manakala denda kelewatan pembekalan kenderaan juga lambat dikenakan dan dituntut.
“Secara keseluruhannya, PAC berpuas hati dengan tindakan susulan yang diambil oleh Kementerian Kewangan dalam melaksanakan syor-syor yang telah digariskan oleh PAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyata tindakan susulan itu menggariskan maklum balas MOF serta ulasan PAC terhadap tindakan yang diambil berhubung lima syor utama dalam penyata asal yang dibentangkan pada 9 Julai lepas.
Beliau berkata PAC turut mencadangkan supaya konsesi pembekalan diperluas kepada kenderaan untuk kegunaan kritikal dan lasak, seperti ambulans, bagi memastikan kenderaan kritikal sentiasa tersedia dan dapat diganti dengan pantas sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan.
"PAC juga mencadangkan supaya kerajaan meneroka penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, memacu pembangunan industri teknologi hijau negara dan menarik pelaburan asing dalam bidang itu, seterusnya menyokong sasaran negara neutral karbon menjelang 2050.
"Selain itu, PAC mengesyorkan latihan berterusan kepada pegawai yang mengendalikan kenderaan di kementerian dan jabatan secara berterusan bagi memastikan pengurusan kenderaan konsesi yang cekap dan teratur," katanya.
Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu menggalakkan pelaksanaan penggunaan sistem atas talian bagi mengurus dan memantau kenderaan konsesi, namun aspek keselamatan dan integriti data mesti turut diberi keutamaan.
PAC turut meminta kerajaan memastikan sistem itu boleh dicapai dan berfungsi sepenuhnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata PAC akan terus memantau pelaksanaan tindakan susulan bagi memastikan pengurusan dana awam mematuhi prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan nilai faedah terbaik untuk wang rakyat.
-- BERNAMA