Kerajaan mendapati terdapat kos tersembunyi dalam pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kos tersembunyi itu tidak didedahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sewaktu projek tersebut dikemukakan sebelum ini.

Tegasnya, anggaran kos sebenar projek tersebut berjumlah sekitar RM110 bilion.

"Kos RM55 bilion yang disebutkan sebelum ini ialah kos projek. Tetapi, banyak juga kos tersembunyi yang tidak didedahkan kerajaan sebelum ini. Maka, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hari ini bertanggungjawab untuk mendedahkan keseluruhan kos pembinaan projek ini," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang bertanya mengapa anggaran kos yang didedahkan terlalu tinggi iaitu hampir dua kali ganda berbanding kos asal yang diumumkan.

BACA: K'jaan PH patut teruskan projek HSR, MRT3 - Najib

Menjelaskan perkara tersebut di lobi Parlimen, Mohamed Azmin berkata kos tersembunyi itu merangkumi kos pengambilan tanah dan pelbagai lagi.

"Ada juga isu berkaitan pengambilan tanah yang dilakukan oleh Singapura di mana ada kos di situ. Apa yang saya maksudkan ialah kos atau perkiraan bagi keseluruhan projek.

"Ada juga jaminan kerajaan yang perlu disediakan untuk memastikan perolehan kereta api dan perkhidmatannya oleh syarikat aset yang telah ditubuhkan berdasarkan perjanjian tersebut.

"Kita tidak boleh melihat hanya kepada kos projek itu sahaja, sebaliknya ada beberapa elemen lain yang perlu dikenal pasti kedua-dua pihak," katanya kepada media.

Mohamed Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata kerajaan juga sedang meneliti kemampuan kewangan untuk membiayai projek HSR itu dengan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama kerajaan Singapura.

Beliau serta pihak kementeriannya dijadual ke Singapura dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu.

BACA: Tangguh projek HSR keputusan wajar - Ketua Pembangkang DUN Johor