HARI pertama 2021 secara rasmi menyaksikan hasrat rakyat Malaysia dan Singapura untuk melihat projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dibina, tidak kesampaian.

Ia selepas kedua-dua kerajaan dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan bahawa perjanjian HSR sudah luput pada 31 Disember 2020, sekali gus projek sepanjang 350 kilometer (km) itu, terbatal secara sendirinya.

Jelas kenyataan tersebut, kedua-dua kerajaan telah melakukan beberapa perbincangan berhubung perubahan, namun gagal mencapai kata sepakat.

Sebelum kata putus ini dicapai, beberapa siri penangguhan perjanjian telahpun dibuat sejak Singapura dan Malaysia menandatangani Perjanjian Dua Hala (BA) HSR pada 2016.

Situasi ketika ini adalah projek mega itu tidak menjadi realiti, namun apakah yang telah kita ketahui berkenaan Projek HSR?

Projek HSR KL-Singapura akan dibuka kepada lapan stesen

Pada 2010, cadangan Projek HSR telah dikemukakan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) bagi menghubungkan Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan Singapura.

Pada Februari 2013, Malaysia dan Singapura secara rasminya bersetuju untuk membina HSR melalui perbincangan antara Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di Singapura.

BACA: Perjanjian projek HSR Malaysia-Singapura tamat, terbatal secara sendiri

Perkembangan projek tersebut diteruskan dengan Perjanjian Dua Hala yang ditandatangani bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada Disember 2016.

Lebih kurang dua tahun kemudian, surat penangguhan projek telah dimeterai pada September 2018 sehingga 31 Mei 2020 (atas permintaan Malaysia). Ia ditandatangani oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Difahamkan, pada April 2020, cadangan perubahan Projek HSR telah dibentangkan kepada Kabinet, sebelum penangguhan projek dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa cadangan perubahan mengenai projek tersebut diserahkan kepada Singapura pada Jun 2020, sebelum ia dibincangkan dengan Republik itu pada Ogos lalu.

Pada Oktober 2020 pula, cadangan perubahan terbaharu HSR sekali lagi dibentangkan ke Kabinet.

Projek HSR KL-Singapura akan dibina sepanjang 350 kilometer

Perjanjian Dua Hala (BA) ditandatangani pada 13 Disember 2016

Menerusi perjanjian tersebut, Projek HSR KL-Singapura akan dibuka kepada lapan stesen iaitu Singapura melibatkan Stesen Jurong Timur, manakala Malaysia - Bandar Malaysia; Putrajaya; Seremban; Ayer Keroh; Muar; Batu Pahat; dan Iskandar Puteri.

Bagaimanapun, sumber memaklumkan susulan impak COVID-19, terma-terma di dalam Perjanjian Dua Hala tersebut tidak lagi berdaya maju bagi perspektif ekonomi Malaysia.

Ia kemudian disahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Mustapa Mohamed menerusi kenyataan pada Jumaat (1 Januari).

Menurut Mustapa, kerajaan Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek ini.

Cadangan-cadangan tersebut termasuklah perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen.

"Struktur projek yang asal memerlukan jumlah Jaminan Kerajaan (Government Guarantees) yang besar dan untuk tempoh yang panjang.

"Cadangan struktur projek yang baharu ini juga akan memberikan kerajaan fleksibiliti dalam memilih opsyen pembiayaan projek termasuklah melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah," demikian kata beliau.


Kenyataan Media Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai pembatalan HSR

Cadangan Perubahan Projek HSR


Perbincangan Malaysia-Singapura

Kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan sepanjang beberapa bulan yang lepas bagi memperjelaskan pendirian masing-masing.

Walau bagaimanapun, tiada persetujuan dicapai mengenai perubahan-perubahan yang dicadangkan.

BACA: Batal HSR: Najib dakwa Malaysia perlu bayar pampasan sekitar RM310 juta kepada Singapura

Ganti Rugi

Susulan pembatalan perjanjian Projek HSR, Malaysia dijangka perlu membayar pampasan kepada Singapura.


HSR batal: Malaysia harus bayar ganti rugi kepada Singapura