KUANTAN: Jabatan Neurosurgeri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini berjaya menjalankan pembedahan secara sedar (awake surgery) bagi mengeluarkan ketumbuhan di otak seorang pesakit wanita pada Isnin, sekali gus menjadi hospital pertama Kementerian Kesihatan di Pantai Timur melakukan kaedah itu.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata pembedahan ke atas pesakit berusia 38 tahun yang menghidap sawan akibat ketumbuhan cavernoma itu telah berlangsung selama lima jam.

Beliau berkata pembedahan secara sedar yang dilaksanakan itu mempunyai pelbagai kelebihan berbanding kaedah konvensional dan ia selamat serta berkesan bagi pesakit dengan ketumbuhan yang kompleks dan berdekatan dengan kawasan kritikal di otak.

"Menerusi pembedahan kaedah ini juga pakar bedah dapat melakukan pemetaan lokasi tumor dengan tepat dan meminimumkan disfungsi saraf pascapembedahan selain boleh mengurangkan sawan dan masa lebih singkat berada di unit rawatan rapi (ICU).

"Malah selepas pembedahan, kesakitan pesakit melalui prosedur ini juga amat kurang berbanding pembiusan penuh," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Selain itu, beliau memaklumkan pembedahan dengan menggunakan kaedah ini telah berjaya menyediakan Pakar Neurosurgeri dan kakitangannya dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan prosedur pembedahan secara sedar dengan selamat dan berkesan pada masa yang akan datang.

Beliau berkata pembedahan berkenaan dijalankan oleh Pakar Perunding Neurosurgeri Dr Mohd Aidil Mohd Nor bersama-sama Pakar Neurosurgeri Dr P Ramissh dan Dr Vinodh Varaya Perumall dari HTAA.

Selain itu, bekas Pakar Perunding Neurosurgeri Hospital Pulau Pinang Dr Mohammed Azman Mohammad Raffiq dan Pakar Perunding Neuroanestesiologi Dr Nahemah Hasanaly dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak telah dijemput bagi membantu kejayaan pembedahan ini.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pahang amat berbangga dengan pencapaian ini dan semoga lebih ramai lagi pesakit di negeri Pahang khasnya mendapat manfaat dari rawatan ini selari dengan kemajuan teknologi semasa," kata Dr Nor Azimi.

-- BERNAMA