PHNOM PENH: Pemimpin kanan Kemboja menyambut baik hubungan Malaysia-Kemboja yang semakin kukuh dan menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Malaysia kepada negara itu, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Johari berkata, sentimen berkenaan disampaikan semasa pertemuan beliau dengan barisan pemimpin tertinggi Kemboja di Phnom Penh, yang mencerminkan keakraban hubungan dua hala kedua-dua negara.
Beliau menarik perhatian bahawa hubungan dua hala itu diperkukuh lagi menerusi hubungan akrab antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
"Mereka mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan menghargai bantuan kita. Semasa mereka berdepan masalah beberapa dekad lepas (konflik sivil pada awal 1990-an), kami adalah yang terawal sampai dan kami tidak pernah meninggalkan Kemboja. Mereka sangat menghargai perkara ini," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Johari berada di Phnom Penh bagi menghadiri Persidangan Yang Dipertua Antara Parlimen Kedua (ISC-2), anjuran bersama Perhimpunan Kebangsaan dan Senat Kemboja dari 26 hingga 28 Ogos.
Semasa lawatan itu, beliau mengadakan perbincangan peringkat tinggi bersama Hun Manet, bekas Perdana Menteri yang kini Presiden Senat, Hun Sen dan Presiden Perhimpunan Kebangsaan, Khuon Sudary.
Johari berkata, Kemboja mahukan sokongan lebih besar daripada Malaysia dalam beberapa bidang, termasuk pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), rawatan perubatan di hospital-hospital Malaysia serta perdagangan dua hala, terutamanya produk makanan.
Kemboja dan Malaysia menjalin hubungan diplomatik pada 1957, dan kedua-dua negara bakal meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik berkenaan pada 2027.
Perdagangan dua hala berada pada trajektori yang kukuh dengan melepasi AS$1 bilion (RM4 bilion) tahun lepas, manakala perdagangan dua hala mencapai AS$833 juta (RM3.4 bilion) bagi tempoh separuh pertama 2026, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Agenda yang semakin berkembang - daripada pendidikan dan penjagaan kesihatan hingga kepada perdagangan makanan - mencerminkan tekad politik muhibah yang diterjemahkan kepada kerjasama ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat yang lebih luas.
-- BERNAMA