Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang akan kembali ke tanah air pada minggu pertama April selepas menyempurnakan tugasan selama dua tahun, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata hubungan dua hala AS-Malaysia berada pada tahap terbaik dan ini harus dimanfaatkan untuk merapatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Dalam temu bual dengan Bernama di luar acara majlis makan malam Sabtu yang dihoskan oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu Datuk Ramlan Ibrahim, di pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di New York, Awang Adek menyeru supaya interaksi antara kedua-dua pihak ditingkatkan memandangkan terdapat potensi besar untuk kerjasama dalam hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara".

"Saya percaya terdapat potensi besar untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara kerana kita mempunyai banyak bidang-bidang yang memungkinkan kerjasama demi kepentingan bersama," kata duta itu yang berpejabat di Washington DC.

Beliau cukup popular di kalangan komuniti Malaysia dan justeru Kelab MCA Amerika Syarikat dan Persatuan Amerika Malaysia (MAA) menganjurkan bersama kejohanan golf persahabatan sebagai penghormatan kepada Awang sebelum majlis makan malam berlangsung di pejabat berkenaan.

Pada majlis itu, Awang Adek berkata beliau akan meninggalkan Washington dengan perasaan sedih bercampur gembira.

"Saya gembira kerana telah menyempurnakan tugas selama dua tahun dan melakukan apa yang mampu untuk meningkatkan hubungan. Bagaimanapun, saya berasa sedih untuk meninggalkan ramai kawan dan mereka yang mengutus ucapan selamat atau secara ringkas saya gembira dan pada masa yang sama berasa sedih," kata beliau.

Bagaimanapun, Awang Adek berkata hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat telah bertambah baik dalam tempoh beliau menjalankan tugasnya di negara itu.

Menurut beliau, semasa berkhidmat sebagai duta, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah melawat Malaysia sebanyak dua kali dan ini tidak pernah berlaku dahulu dalam catatan sejarah hubungan dua hala.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak pula telah tiga kali melakukan lawatan ke Amerika Syarikat sejak dua tahun lepas termasuk pada Februari 2016 di Sunnylands, California.

"Saya amat berpuas hati apabila mendapati bahawa rekod hak asasi manusia kembali ke Tahap 2 daripada rating negatif pada Tahap 3.

"Apabila saya tiba pada 2014, rating Malaysia berada di tahap 3 iaitu yang paling rendah dalam kategori.

Saya memaklumkan kepada kerajaan kami untuk meningkatkan rating ke tahap 2. Kami bekerja keras Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi bekerja keras dan melawat Amerika Syarikat. Rating kami dinaikkan dan kembali ke Tahap 2.

Timbalan Perdana Menteri sekali lagi akan ke Washington pada awal April. Hubungan kami adalah baik dan kami berada dalam kedudukan untuk menyatakan bahawa asas hubungan kami adalah kukuh," kata Awang Adek.

Duta itu berharap bahawa program pemansuhan visa yang membolehkan rakyat Malaysia melawat Amerika Syarikat tanpa perlu memohon visa daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

BACA: Malaysia dan Amerika Syarikat tandatangani dokumen pengecualian visa

"Kami telah mematuhi kebanyakan daripada keperluan yang digariskan oleh Amerika Syarikat. Kami telah mengurangkan kadar penolakan visa daripada 4.5 peratus kepada 3.3 peratus sekarang tetapi kami harus berusaha untuk mengurangkan lagi kadar itu kepada 3 peratus atau ke bawah untuk layak sepenuhnya menyertai program pemansuhan visa.

Semakin kurang jumlah penolakan visa bagi rakyat Amerika, maka semakin baik peluang kami untuk mematuhi keperluan Amerika Syarikat untuk program pemansuhan visa," kata Awang Adek.

Mengenai keadaan di Laut China Selatan dan kemungkinan Malaysia mengadakan kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam hal ehwal pertahanan, Awang Adek berkata Malaysia menjalin kerjasama dalam konteks ASEAN untuk secara kolektif membincangkan dengan Amerika Syarikat mengenai perkembangan di Laut China Selatan.

"Isu itu juga telah dibangkitkan oleh ASEAN pada mesyuarat ASEAN-Amerika Syarikat di Sunnylands. Malaysia mahu isu tersebut diselesaikan secara aman melalui rundingan dengan China.

Dalam konteks ini, Kod Tatalaku, yang dibangkitkan oleh ASEAN, mempunyai signifikan. Kami juga menekankan tentangnya penting Deklarasi Tata Laku pihak-pihak di Laut China Selatan," kata beliau.

Duta itu juga menarik perhatian bahawa hubungan perdagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara terus berkembang. Jumlah perdagangan dua hala sekarang mencecah US$35 bilion dengan imbangan perdagangan menguntungkan Malaysia.

Amerika Syarikat ialah rakan perdagangan Malaysia yang keempat terbesar.

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), yang ditandatangani oleh Malaysia dan Amerika Syarikat beberapa bulan lepas dijangka meningkatkan perdagangan dan pelaburan.

"Perjanjian itu juga akan meningkatkan pelaburan bukan sahaja dari Amerika Syarikat tetapi juga dari negara-negara lain yang mahu berpindah ke Malaysia bagi memanfaatkan perdagangan tarif dengan Amerika Syarikat.

Kategori produk utama Malaysia yang dieksport ke Amerika Syarikat ialah peralatan elektrik, jentera, optik dan peralatan perubatan, getah, lemak dan minyak," kata beliau.

Bagaimanapun, kedudukan TPPA di Amerika Syarikat belum diketahui berikutan kempen pemilihan Presiden di negara itu. Perjanjian tersebut masih perlu diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat.