KUALA LUMPUR: Hubungan China-Malaysia melalui tiga peningkatan besar dalam tempoh lima tahun lepas, yang kemuncaknya membawa kepada pembentukan komuniti strategik peringkat tinggi yang mempunyai masa depan bersama, kata Duta China ke Malaysia yang akan menamatkan tugasannya, Ouyang Yujing.
Beliau berkata hubungan dua hala berkembang daripada Perkongsian Strategik Komprehensif kepada komuniti China-Malaysia yang mempunyai masa depan bersama, sebelum dipertingkatkan lagi kepada status semasa.
“Ketiga-tiga langkah penting ini membawa hubungan China-Malaysia ke tahap baharu dan membuka prospek yang lebih luas untuk kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya pada majlis resepsi sempena ulang tahun ke-77 penubuhan Republik Rakyat China serta berakhirnya tempoh lima tahun perkhidmatan beliau di Malaysia.
Ouyang berkata lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada April merupakan satu lagi detik penting dalam hubungan dua hala, yang membuka lembaran baharu apa yang disifatkannya sebagai “50 Tahun Emas” bagi hubungan China-Malaysia.
“Lawatan itu membawa hubungan dua hala ke tempoh terbaik dalam sejarah dan memberikan panduan strategik penting bagi perkembangan hubungan China-Malaysia pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata momentum berkenaan terus diperkukuh melalui pertukaran peringkat tinggi, termasuk lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, baru-baru ini.
“Pertemuan Yang Amat Berhormat dengan Perdana Menteri Li Qiang menghasilkan konsensus baharu yang penting bagi memperdalam kerjasama menang-menang antara kedua-dua negara,” kata Ouyang.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani menjadi tetamu kehormat pada majlis itu, mewakili Kerajaan Malaysia.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Mengenai kerjasama ekonomi, Ouyang berkata hubungan perdagangan dan pelaburan yang semakin berkembang kekal sebagai sumber inspirasi kepadanya, dengan perdagangan dua hala meningkat daripada US$131.16 bilion pada 2020 kepada hampir US$200 bilion pada 2025.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dan terus menjadi sumber utama pelaburan asing, katanya.
Ouyang turut menekankan kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang kini lebih 95 peratus siap dan disasarkan untuk disiapkan menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar” terus menyokong perniagaan kedua-dua negara, manakala rangkaian 5G kedua Malaysia, yang disokong kepakaran teknologi China, terus memperluas kesalinghubungan di seluruh negara.
Kerjasama dalam teknologi baharu termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data dan kenderaan elektrik (EV) turut menyumbang kepada transformasi serta peningkatan ekonomi kedua-dua negara, katanya.
“China dan Malaysia jauh lebih daripada sekadar rakan dagang tradisional. Kita sedang menerajui model kerjasama serantau yang baharu berasaskan kuasa produktif berkualiti baharu,” kata Ouyang.
-- BERNAMA