Jawatankuasa teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan akan memberi penerangan dan taklimat kepada semua ahli parlimen berhubung hasrat kerajaan negeri Kelantan mahu membawa dua rang undang-undang persendirian berhubung hudud ke Parlimen tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata penerangan dan taklimat itu akan dibuat kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik yang mereka anggotai.

Sesi penerangan itu akan dibuat selepas satu taklimat khas kepada pimpinan PAS peringkat kebangsaan terutamanya Lajnah Politik PAS Pusat yang akan diadakan dalam masa terdekat.

"Selepas itu kita akan pergi kepada parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP untuk beri penerangan apa yang kita nak buat ini. Ada juga cadangan beri taklimat kepada wakil rakyat bukan daripada Pakatan Rakyat. Insya-Allah, kita akan buat," katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Beliau menambah taklimat sama akan diberikan kepada masyarakat bukan Islam untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah Islam.

Jawatankuasa itu pada Isnin memberikan taklimat mengenai rang undang-undang persendirian berkenaan kepada pimpinan PAS Kelantan.

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Mustapha Mohamed yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan baru-baru ini meminta PAS Kelantan memberi taklimat mengenai rang undang-undang persendirian itu kepada ahli parlimen supaya mereka faham tentang apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan negeri itu.

Jelas Mohd. Amar, cadangan taklimat khusus kepada wakil rakyat Barisan Nasional itu disambut baik oleh anggota exco kerajaan negeri Kelantan.

Sesi taklimat itu bagaimanapun tidak akan menyentuh soal hukum hudud, qisas dan takzir kerana hal itu sudah dibuat melalui pelbagai seminar dan program anjuran kerajaan negeri itu sebelum ini, tambahnya.

Sementara itu, mengulas laporan kononnya 38 ahli parlimenDAP tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian itu, Mohd. Amar berkata tindakan itu tidak mencerminkan semangat setiakawan dalam Pakatan Rakyat.

"Itu hak dia, nak kata macam mana. Tapi pada pandangan saya (itu) tak betul sebab kita pun tak pernah kempen kepada orang lain (supaya) menolak DAP dan cadangan DAP," katanya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng pada Isnin menegaskan 38 ahli parlimen parti itu telah secara terbuka menegaskan tidak akan menyokong langkah kerajaan negeri Kelantan itu.

"Pendirian kami jelas, ahli parlimen DAP tidak akan mengundi menyokong undang-undang hudud," katanya sebagai menyahut cabaran MCA yang mahukan DAP menyatakan pendirian berhubung isu hudud.

Beliau juga mendakwa ada 12 ahli parlimen daripada MCA, Gerakan dan MIC yang telah menyatakan pendirian untuk tidak menyokong rang undang-undang persendirian PAS Kelantan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat baru-baru ini menyatakan kesediaan kerajaan Persekutuan menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan undang-undang jenayah Islam, hudud dan qisas.

Sebagai reaksi kepada kenyataan itu, mesyuarat exco negeri Kelantan membuat ketetapan menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dibentang di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu seawal-awalnya tahun depan. Rang undang-undang itu dijangka akan dibawa ke Dewan Rakyat pada Jun ini.