PAS bersedia untuk memberikan penerangan dan penjelasan kepada UMNO berhubung hasratnya membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan di Dewan Rakyat bagi memberi laluan kepada Kelantan melaksanakan hukum hudud, kata presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata, pihaknya bersedia duduk berbincang mengenai perkara tersebut dengan UMNO dan parti politik lain.

Beliau bagaimanapun meminta mana-mana parti politik yang mahu berbincang mengenai hudud memberikan masa yang sesuai untuk tujuan tersebut.

"Kita bersedia untuk memberikan penjelasan kepada semua pihak termasuk Pakatan Rakyat dan kita akan hantar wakil kepada semua Pakatan Rakyat untuk beri penjelasan termasuklah UMNO, …itu jangan tanya pihak kita sahaja kena tanya pihak lain juga, tak jadi tepuk tangan sebelah," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bagi mengutip Dana Tabung Dewan Ulamak PAS di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan UMNO bersedia mendengar sebarang cadangan pas demi memastikan hukum itu benar-benar difahami.

Perdana Menteri menjelaskan UMNO ingin mengetahui cadangan tersebut kerana sehingga kini pihaknya belum dapat penjelasan dari PAS berhubung cadangan tersebut.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi UMNO di menara Datuk Onn semalam.

Sementara itu ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang kurang bersetuju dengan pendirian PAS meneruskan hasratnya untuk melaksanakan hukum hudud itu, Abdul Hadi berkata melaksanakan undang-undang tersebut merupakan hak parti pimpinannya.

"Pernah di bincang ini adalah hak PAS, kita telah membuat satu kenyataan bersama yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat itu adalah hak PAS yang perlu dihormati kerana agenda yang diadakan ini sebelum wujud Pakatan Rakyat tak timbul," katanya lagi.

Sebelum ini beberapa pemimpin dalam Pakatan Rakyat kurang bersetuju dengan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan termasuk Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang menyatakan partinya tetap dengan pendirian dan keputusan bahawa pelaksanaan hukum hudud di Kelantan bukan dasar gabungan parti pembangkang.