Ibu kepada bekas Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis mengemukakan permohonan bagi mendapatkan sijil faraid bagi menuntut harta berjumlah lebih RM2 bilion milik anaknya.

Permohonan itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur dihadapan pendaftar mahkamah Siti Zulaiha Mohamad Mansor.

Aminah Abdullah, 85 tahun, selaku pemohon mengemukakan permohonan itu mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Peguam Syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Aminah ketika ditemui pemberita berkata, kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes dan balu Allahyarham, Puan Seri Kalsom Ismail serta anak-anaknya telah dimaklumkan mengenai permohonan ini.

Menurutnya tuntutan harta berjumlah lebih RM2 bilion itu adalah untuk pembahagian, penyeneraian serta menentukan bahagian-bahagian harta yang ditinggalkan kepada waris yang berhak.

“Terdapat pertikaian mengenai isu harta pusaka mana yang perlu dimasukkan sebagai harta pusaka dan tidak perlu dimasukkan membabitkan lebih RM 2 bilion termasuk 20 hartanah melibatkan beberapa buah rumah, tanah dan syarikat di seluruh Malaysia, Mekah dan Amerika Syarikat,”katanya

Dalam pada itu katanya balu dan anak-anak arwah juga turut memohon untuk menjadi pencelah.

Bagaimanapun, mereka tidak hadir pada prosiding itu.

Mahkamah menetapkan 13 September ini bagi pengurusan kes seterusnya.

Dalam kejadian menyayat hati pada 4 April 2015 Jamaludin, 64 tahun, dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias antara enam terbunuh apabila helikopter AS365 yang mereka naiki terhempas dan terbakar di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, di sini.

Empat lagi mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Clifford William Fournier; pembantu juruterbang, Aidana Baizieva; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan seorang anggota polis yang juga pengawal peribadi Jamaludin iaitu Koperal Razakan Seran.

Kesemua mereka termasuk Jamaludin yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri ketika itu menaiki helikopter dari Kuantan selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang.