PUTRAJAYA: Ibu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Mohd Jarjis hari ini berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat diperoleh dua cucunya yang antara lain melarang beliau mendedahkan maklumat berkaitan akaun Rantai Wawasan Sdn Bhd kepada pihak ketiga.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Yaacob Md Sam secara sebulat suara membenarkan rayuan Aminah Abdullah, 87, untuk mengetepikan perintah penggantungan bersyarat yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi pada September tahun lepas kepada Nur Anis Jamaludin dan Ikwan Hafiz Jamaludin.

"Kami berpandangan bahawa tiada keadaan khas yang mewajarkan keputusan Mahkamah Tinggi," katanya yang bersidang dengan Datuk Supang Lian dan Datuk Nazlan Mohd Ghazali.

Yaacob juga berkata terdapat merit dalam rayuan Aminah justeru, mahkamah membenarkannya dengan kos RM10,000 terhadap Nur Anis dan Ikwan Hafiz.

Dalam saman yang difailkan pada 3 Jan 2019, Aminah mendakwa Nur Anis dan Ikwan Hafiz sebagai pentadbir bersama harta pusaka peninggalan Jamaludin, telah gagal memasukkan saham Rantai Wawasan, Alpine Motion Sdn Bhd dan Ivory Insight Sdn Bhd sebagai harta pusaka dalam senarai aset di dalam surat kuasa mentadbir selepas Allahyarham meninggal dunia pada 4 April 2015, dan juga gagal memasukkan saham itu sebagai liabiliti sejak 6 Julai 2017.

Penyataan tuntutan Aminah mendakwa bahawa kedua-dua defendan berbuat demikian dengan niat untuk menafikan hak dan kepentingannya sebagai waris.

Pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Aminah untuk mendapatkan deklarasi bahawa tiga juta saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai harta pusaka peninggalan arwah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Aminah untuk mengisytiharkan bahawa enam juta saham Alpine Motion dan dua juta saham Ivory Insight adalah sebahagian daripada harta pusaka anak lelakinya.

Pada 20 Sept tahun lepas, Nur Anis and Ikwan Hafiz memperoleh perintah penggantungan bersyarat daripada Mahkamah Tinggi sementara menunggu pelupusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa saham Rantai Wawasan dimasukkan sebagai sebahagian daripada harta pusaka Jamaludin.

Aminah turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan deklarasi bahawa saham dua lagi syarikat dimasukkan sebagai sebahagian daripada harta pusaka.

Rayuan berhubung isu itu dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 14 Mac depan.

Jamaluddin, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas pada 4 April 2015.

Peguam Wan Zafran Pawancheek dan Pawancheek Marican mewakili Aminah pada prosiding hari ini yang berlangsung secara maya manakala peguam S.Suhendran mewakili Nur Anis dan peguam Frank Wong mewakili Ikhwan Hafiz.

-- BERNAMA