Skip to main content

Malaysia

Ibu bapa risau prestasi anak? Keyakinan berbahasa Inggeris boleh jadi titik perubahan

Meraikan ulang tahun ke-25, CEFL mengadakan lawatan ke Cambridge, UK bertujuan membincangkan perkembangan serta masa depan pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia selain mendedahkan pesertanya kepada pengalaman di pusat peperiksaan rasmi Cambridge English. - Gambar Astro AWANI
Meraikan ulang tahun ke-25, CEFL mengadakan lawatan ke Cambridge, UK bertujuan membincangkan perkembangan serta masa depan pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia selain mendedahkan pesertanya kepada pengalaman di pusat peperiksaan rasmi Cambridge English. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

CAMBRIDGE: Risau. Cemas. Beremosi. Ibu bapa tentunya akan bimbang, panik dan berasa tidak tentu arah apabila anak-anak tidak cemerlang dalam mana-mana peperiksaan di sekolah.

Realitinya, di negara ini, peperiksaan pula sering kali dikaitkan dengan tekanan akademik untuk menguasai semua subjek, lebih-lebih lagi Bahasa Inggeris di mana pada akhirnya mahu menempatkan diri di peringkat global.

Dalam hal ini, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cambridge English For Life (CEFL), Dr. Elsie Chin menarik perhatian tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang baik membuka peluang dan jalan lebih luas di dalam pendidikan serta kerjaya mereka di masa depan.

"Itu benar, tidak syak lagi. Mereka yang menguasai Bahasa Inggeris yang baik, lazimnya lebih yakin dalam komunikasi. 

"Mereka seolah-olah ada kelebihan, majikan juga lebih memilih mereka dalam pekerjaan, begitu juga dalam mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran. Semuanya memandang ke arah satu persamaan, iaitu berkebolehan berbahasa Inggeris, walaupun saya tidak katakan bahawa bahasa lain itu tidak bagus," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Cambridge, UK, baru-baru ini.

Image
Dr Elsie Chin, CEO CEFL_ASTRO AWANI
Elsie Chin berkata, institusi CEFL menekankan kepentingan membina keyakinan diri murid sejak awal di mana matlamat utama ialah memastikan anak-anak tidak berasa "rendah diri" atau terasing apabila melangkah ke peringkat universiti atau dunia kerjaya global. - Gambar Astro AWANI

Menurut beliau, adalah normal jika ibu bapa bimbang dan khuatir jika anak-anak mereka tidak mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.

"Tetapi, itu boleh ditangani seara bijak oleh ibu bapa apabila anak-anak kurang mahir dalam komunikasi sekali gus tdak mempamerkan prestasi yang baik di sekolah, " ujar Dr. Elsie.

Kata beliau, teknik mengajar dan pembelajaran serta strategi dalam komunikasi berupaya melahirkan pelajar yang yakin, cemerlang, mantap kerjaya sekali gus mengurangkan kerisauan ibu bapa.

"Di CEFL, institusi ini menekankan kepentingan membina keyakinan diri murid sejak awal di mana matlamat utama ialah memastikan anak-anak tidak berasa "rendah diri" atau terasing apabila melangkah ke peringkat universiti atau dunia kerjaya global pada masa depan, " tambah beliau.

Beliau memaklumkan, penyelidikan pasaran dan lanskap politik pendidikan semasa menunjukkan bahawa ibu bapa Malaysia kini lebih fokus kepada kualiti pendidikan demi masa depan anak-anak.

Katanya, ibu bapa sanggup melabur dalam program pengayaan luar seperti CEFL kerana kurikulumnya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di mana ia menggunakan piawaian Cambridge dan rakan kerjasama National Geographic Learning.

"CEFL mempromosikan programnya sebagai platform bantuan untuk membantu kanak-kanak menangani keciciran akademik dan seterusnya melonjak ke hadapan dalam kemahiran bahasa Inggeris."

"Pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan membantu mengurangkan keletihan akademik serta tekanan emosi belajar yang sering dialami oleh murid di sekolah konvensional," tambah beliau.

Pada akhirnya, ujar beliau, kewujudan pusat bahasa seperti CEFL diharap bertindak sebagai penyelesai masalah kepada kegelisahan ibu bapa yang mahu memastikan anak mereka menguasai kemahiran global mutakhir tanpa perlu berasa terbeban dengan tekanan sistem peperiksaan formal semata-mata.

Baru-baru ini, CEFL meraikan ulang tahunnya ke-25 dengan mengadakan lawatan ke Cambridge, sebuah bandar pendidikan terkemuka dunia dan dipenuhi banyak universiti diiktiraf global.

Antara lain, lawatan bertujuan membincangkan perkembangan serta masa depan pendidikan bahasa Inggeris di Malaysia selain mendedahkan pesertanya kepada pengalaman di pusat peperiksaan rasmi Cambridge English.

Bermula sebagai sebuah inisiatif pendidikan tempatan pada tahun 2001, CEFL kini berkembang kepada lebih 70 pusat di seluruh negara serta berjaya membimbing lebih 100,000 pelajar pelbagai peringkat usia.

Apa yang lebih membanggakan, CEFL menjadi antara institusi terawal di negara ini yang menerapkan Common European Framework Of Reference For Languages (CEFR), dalam sistem pembelajaran mereka, jauh sebelum piawaian antarabangsa itu diperkenalkan secara meluas di sekolah tempatan.

Sistem pembelajaran di CEFL memfokuskan kepada persediaan pelajar untuk menduduki peperiksaan Cambridge English Qualifications yang diiktiraf oleh ribuan universiti dan syarikat korporat di seluruh dunia.

Bergerak ke hadapan, selepas menerima pengiktirafan sebagai rangkaian pusat bahasa Inggeris tempatan berasaskan satu bahasa yang paling lama bertapak dan terbesar, CEFL kini mahu memperkukuhkan  kedudukannya sebagai antara peneraju pendidikan bahasa Inggeris di rantau ini.
 

Must Watch Video

Advertisement