MALAYSIA
Ibu buat laporan polis, dakwa ada kesan lebam di belakang badan Zara Qairina

Ibu Zara membuat laporan polis baharu selepas menemui kesan lebam di belakang badan anaknya semasa memandikan jenazah. -Gambar fail/Sinar Harian
KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah membuat satu lagi laporan polis berhubung kewujudan kesan lebam di sebahagian besar bahagian belakang badan anaknya ketika jenazah dimandikan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada 17 Julai lalu.
Ringkasan AI
- Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina, meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah agama di Papar, Sabah.
- Ibu Zara membuat laporan polis baharu selepas menemui kesan lebam di belakang badan anaknya semasa memandikan jenazah.
- Kematian Zara dikaitkan dengan kejadian buli dan mencetuskan solidariti awam melalui tanda pagar #JusticeForZara.
“Fakta penting ini tidak dimasukkan dalam laporan-laporan polis terdahulu kerana beliau terlupa sepenuhnya mengenainya.
"Beliau hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam tersebut selepas kami menyoal beliau pada tengah hari semalam berkenaan keadaan tubuh anaknya ketika dimandikan,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Tambah kenyataan itu, anak guam mereka tidak mengingati perkara berkenaan kerana terlalu sedih sejak 16 Julai lalu akibat kejadian menimpa anaknya.
“Anak guam kami percaya kesan-kesan lebam yang dilihat itu adalah kecederaan akibat pukulan dengan objek tumpul ke bahagian belakang Zara sebelum dia ditemui di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada subuh 16 Julai,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan peguam turut memaklumkan mereka mengambil maklum mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sabtu bahawa siasatan polis telah selesai dijalankan dan kertas siasatan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada minggu hadapan untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas kejadian di Hospital Queen Elizabeth I.
Kematian remaja tersebut mendapat liputan meluas, termasuk di media sosial, selepas dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah berkenaan sehingga mencetuskan tanda pagar #JusticeForZara sebagai solidariti bagi menuntut siasatan yang telus dan adil. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami