NATIONAL
Ibu gajah setia menanti di sisi anak yang dilanggar runtun hati rakyat Malaysia

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan seekor gajah dewasa cuba menolak sebuah lori selepas anaknya mati akibat dilanggar kenderaan berat tersebut.
KUALA LUMPUR: Walaupun lebih 24 jam telah berlalu, kisah seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang mati akibat dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi semalam terus meruntun hati rakyat Malaysia.
Ringkasan AI
- Kisah tragis seekor ibu gajah yang setia menunggu anaknya yang mati dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada Hari Ibu meruntun hati rakyat Malaysia, menunjukkan naluri keibuan dan kasih sayang yang dirasai oleh haiwan.
- Pengguna Facebook berkongsi pengalaman mendengar tangisan ibu gajah dan melihat usaha ibu gajah menolak lori untuk menyelamatkan anaknya, menggambarkan cinta dan memori yang dimiliki oleh gajah.
- Pengguna aplikasi X dan Facebook menyeru pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk ibu gajah tersebut, serta mengingatkan bahawa haiwan juga makhluk Allah yang wajar dikasihi seperti manusia.
"Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.
"Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah seorang ibu, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya," katanya dalam siaran langsung berdurasi kira-kira 45 minit.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Amirul Abraham, menulis: "Gajah bukan haiwan biasa. Ia ada memori, ada emosi. Antara keduanya, yang paling besar dia miliki adalah cinta.
"Kalau manusia pun sanggup bergadai nyawa demi anak, apatah lagi makhluk yang tidak pernah mengenal erti benci. Ibu gajah itu terus menunggu, bukan kerana dia tidak tahu anaknya sudah tiada," katanya.
Pengguna aplikasi X dikenali sebagai Rohirrim pula berkata: "Inilah makna dan erti sebenar Hari Ibu. Haiwan juga makhluk Allah yang wajar dikasihi seperti manusia. Semoga pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk ibu gajah tersebut."
Seorang lagi pengguna, Apip Amran, menulis: "Pada Hari Ibu Sedunia, seekor ibu gajah di Gerik kehilangan anaknya yang dirempuh lori.
"Tiada hadiah yang lebih memilukan... hanya doa agar si kecil kini tenang di tempat yang lebih baik. Sebuah kehilangan yang merobek jiwa, di hari yang sepatutnya penuh kasih."
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seekor gajah dewasa cuba menolak sebuah lori selepas anaknya, yang dianggarkan berusia lima tahun, dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat tersebut.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku di Kilometer 80 Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada 2.50 pagi Ahad.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami