MALAYSIA
Ibu lapor polis keluarga bekas mentua dera anak

Supt Ibrahim berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki akibat dicubit serta dipukul dengan tangan, manakala kepala mangsa turut cedera akibat ditarik rambut dengan kuat.
KUALA LUMPUR: Polis menahan dua individu berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Sungai Tengi, Gedangsa, baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Ibrahim Husin, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya didera ketika berada di rumah keluarga bekas ibu mentuanya, jam 7.17 malam, pada Isnin.
“Hasil siasatan, polis berjaya menahan dua suspek, masing-masing seorang wanita berusia 71 tahun yang merupakan bekas ibu mentua dan seorang wanita berusia 35 tahun, bekas adik ipar kepada ibu mangsa.
"Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.Ibrahim berkata, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki akibat dicubit serta dipukul dengan tangan, manakala kepala mangsa turut cedera akibat ditarik rambut dengan kuat.
"Bagaimanapun, keadaan mangsa dilaporkan stabil dan tiada kecederaan serius.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada dakwaan bahawa mangsa disyaki mencuri wang milik neneknya, yang juga salah seorang suspek," ujarnya.
Menurut Ibrahim, kedua-dua suspek telah diambil keterangan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami