Skip to main content

Malaysia

Ibu, teman lelaki didakwa bunuh budak lima tahun berdepan hukuman mati

Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 2 George Town selepas selesai pertuduhan pada Isnin. -- SINAR HARIAN
Kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 2 George Town selepas selesai pertuduhan pada Isnin. -Foto Sinar Harian
Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang wanita Indonesia dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret 2, di sini, di atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki pada Julai lalu.

Kanak-kanak yang mempunyai kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu adalah anak kepada tertuduh yang juga wanita berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Dina Hayati, 30, bersama Sany, 34, yang merupakan warga Bangladesh didakwa telah membunuh dan menyebabkan kematian Ali Sahari Ali Juhar, 5.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di ruang tamu tingkat dua sebuah rumah di Lintang Merak, Sungai Dua di sini pada jam 9.30 pagi, 23 Julai lalu.

Oleh demikian, pasangan tersebut dituduh mengikut Seksyen 302 Kamun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta 12 sebatan.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditangguh hingga 6 Oktober 2026 untuk laporan kimia dan patologi.

Sebelum ini, media melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dibawa ke klinik oleh lelaki warga asing itu selepas mengalami muntah-muntah di rumah sewa yang didiami mereka di sini.

Ketika kejadian, ibu mangsa berada di tempat kerja.

Mangsa bagaimanapun tidak sedarkan diri ketika berada di klinik sebelum dirujuk ke Hospital Pulau Pinang namun disahkan meninggal dunia.

Pihak hospital kemudian membuat laporan polis selepas menemui kesan lebam di seluruh badan mangsa.

Susulan laporan itu, polis menahan ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu restoran dan teman lelakinya bagi membantu siasatan lanjut.

Difahamkan, mangsa adalah anak wanita berkenaan hasil perkahwinan dengan lelaki etnik Rohingya yang meninggal dunia tahun lalu. -Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement