AYER KEROH: Seorang ibu tunggal dua anak didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat atas cubaan membunuh dan mendedahkan bayi perempuannya kepada bahaya sehingga cedera.

Tertuduh, Syarifah Norain Mohamad Zali, 32 tahun yang didakwa atas dua pertuduhan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan bagaimanapun hanya mengaku bersalah atas dakwaan mengabaikan kanak-kanak itu, manakala menafikan cuba melakukan pembunuhan.

Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, tertuduh didakwa cuba membunuh bayi perempuannya berusia setahun sembilan bulan dengan cara membuang ke dalam longkang.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengaku bersalah mendedahkan mangsa sama kepada bahaya sehingga mendatangkan cedera dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi longkang, Lorong Pandan, Melaka pada jam 8.40 dan 9.40 malam, 13 Julai lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nabilalif Mohd Rosli tidak mencadangkan sebarang jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau memohon jaminan tinggi iaitu RM25,000.

Hujahnya, mangsa di dalam kes itu adalah anak kandung kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah memandangkan dia perlu menjaga semua anaknya yang kini dijaga sementara oleh ibunya.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta menetapkan 26 Ogos ini sementara menunggu fakta hukuman, pengurusan kes dan serahan dokumen.