Skip to main content

Malaysia

ICQS Bukit Kayu Hitam gempar beg disangka berisi bom, dadah

AGENSI KESELAMATAN KOMPLEKS ICQS BUKIT KAYU HITAM GEMPAR PENEMUAN BEG DISANGKA BERISI BAHAN LETUPAN DAN DADAH
Petugas agensi keselamatan di Bangunan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, gempar dengan penemuan sebuah beg yang ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam, di sini dipercayai mengandungi bahan letupan dan dadah.
Advertisement

BUKIT KAYU HITAM: Petugas agensi keselamatan di Bangunan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, gempar dengan penemuan sebuah beg yang ditinggalkan di ruang pemeriksaan Imigresen/Kastam, di sini dipercayai mengandungi bahan letupan dan dadah.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, beg bagasi berwarna merah jambu itu ditemui di Blok B itu pada jam 5.55 petang Jumaat.

Beliau berkata, selepas mendapati tiada sesiapa menuntut beg terbabit, beg terbabit kemudian dibawa untuk pemeriksaan mesin pengimbas.

"Selepas imbasan dilakukan menggunakan mesin pengimbas oleh pihak Kastam mendapati imej terbabit mengandungi bahan disyaki dadah dan bahan letupan.

"Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dipanggil untuk pemeriksaan rapi. Berikutan itu, Kompleks ICQS ditutup pada jam 9.30 malam tadi sehingga 11.30 malam untuk proses 'neutralise' oleh unit pemusnah bom IPK Kedah selepas menilai risiko yang ada di sekeliling kawasan bangunan dengan mengutamakan keselamatan nyawa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohd Radzi berkata, bagaimanapun pada jam 11 malam tadi bagasi itu berjaya dibuka dan menemui terdapat baju, minyak wangi, alat pengering rambut, syampu dan losyen.

Namun, katanya, polis sedang mengesan pemilik beg terbabit dengan pemeriksaan menerusi Kamera Litar tertutup (CCTV).
 

Must Watch Video

Advertisement