"Kenapa ini yang menimpa keluarga kami sebelum sambutan Deepavali? Anak kesayanganku, ibu sayang sangat dekat kamu," laung ibu K. Logeswaran, salah seorang mangsa kebakaran wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di sini, tatkala melihat jasad anaknya ditempatkan di dalam keranda.

Laungan itu disahut dengan tangisan pilu lantas menambah kepiluan di Unit Forensik Hospital HSA di sini tatkala waris menuntut jenazah mangsa susulan tragedi kebakaran di hospital itu pada pagi Selasa.

Ibu (yang tidak mahu namanya diterbitkan) kepada mangsa kebakaran, Logeswaran, 20, menangis sambil memeluk salah seorang anak lelakinya yang turut hadir sama ketika menuntut jasad anak lelakinya itu.

BACA: LAPOR LANGSUNG: ICU HOSPITAL SULTANAH AMINAH, JOHOR BAHRU TERBAKAR


Jasad Logeswaran dituntut keluarga malam tadi dan dihantar ke kampung halaman mereka di Teluk Intan, Perak bagi urusan pengkebumian.

Sementara itu, keluarga mangsa Neeramala Devi dilihat tenang ketika mereka memberi penghormatan terakhir kepada mangsa berusia 24 tahun itu.


Pada kebakaran yang bermula 8.56 pagi itu, enam pesakit, terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut. Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di HSA.

Dua kakitangan HSA dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala seorang kakitangan dirawat di HSA akibat terhidu asap.