GOPENG:Polis mengenal pasti identiti tiga termasuk dua kanak-kanak yang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan treler muatan simen di Kilometer 10, Jalan Malim Nawar - Kota Bharu malam tadi merupakan bapa dan anak.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Hafize Nizam Ali Supian, 30, serta dua orang anak lelakinya, Muhammad Afeef Rafiqie, 9, dan Arrian Nuh, 6.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu Hafize bersama-sama dengan anaknya itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Gopeng menghala Malim Nawar.

"Treler jenis Volvo itu dipercayai terbabas di lorong kiri dan melanggar tiang elektrik dan juga besi penghadang jalan sebelah kiri jalan.

"Akibat daripada itu kesemua mangsa cedera parah kerana tersepit dalam treler dan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


 





Hasron berkata, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Kampar pada pukul 5 pagi tadi.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BACA: Tiga termasuk dua kanak-kanak maut treler terbabas di Gopeng