ALOR SETAR: Identiti dua mangsa yang rentung selepas kereta Perodua Myvi terbakar di persimpangan lampu isyarat Tesco Mergong, dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mangsa dikenali sebagai Lim Gi Ying, 21, dan isterinya, Tan Sun Wen, 19.

"Pasangan itu dipercayai tidak bekerja dan meninggal dunia di tempat kejadian itu,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Awal pagi ini, dua orang dilaporkan maut selepas renting dalam kebakaran sebuah kereta berhampiran lampu isyarat di Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini.

BACA: Remaja antara dua rentung dalam nahas jalan raya

Menurut Ahmad Shukri, hasil siasatan awal mendapati, arah pergerakan kereta itu dipercayai dari lampu Isyarat Tesco Mergong ke arah lampu isyarat Lebuhraya Sultanah Bahiyah.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika kereta terbabit menghampiri lampu isyarat namun gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri pembahagi jalan dan melanggar tiang papan tanda yang berada di kiri jalan dan seterusnya terbabas ke kanan di laluan utama.

"Kenderaan itu berhenti di lorong kanan arah yang sama dan terbakar di tempat kejadian.

"Pasangan itu disahkan meninggal dunia terbakar dalam kenderaan di tempat kejadian," katanya.

Ahmad Shukri berkata, kedua-dua mangsa terbabit disahkan berdasarkan maklumat daripada waris (pemandu) manakala Mykad isterinya diperoleh dalam beg pada badan mangsa.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mayat pasangan suami isteri terbabit dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.