Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Melaka disaran melaksanakan sistem ‘Four Way Stop’ di kawasan pentadbiran masing-masing bagi mendidik pengguna jalan raya menjadi pemandu berhemah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Haron berkata, sistem berkenaan sudah lama diaplikasi di negara maju seperti Amerika Syarikat bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Menurutnya, kaedah pemanduan itu memerlukan semua orang berhenti di persimpangan empat yang mempunyai tanda sistem terbabit selain persimpangan tiada lampu isyarat.

Manakala laluan akan diberikan kepada pemandu yang berhenti dahulu sekali gus sikap toleransi diamalkan akan menjadi budaya menjadi pemandu berhemah.

Terdahulu, sistem itu sudah diaplikasi di Taman Kenanga, lorong Pandan dan kamera litar tertutup diletakkan di persimpangan sebagai memastikan keberkesanan usaha dilakukan.

Bagaimanapun, ia hanya digunakan untuk keperluan di persimpangan tiada lampu isyarat dan di kawasan taman perumahan bagi peringkat permulaan.

Idris berkata, masyarakat tidak boleh menuding jari kepada kelemahan satu pihak sekiranya kemalangan sebaliknya sikap pengguna jalan raya turut menjadi penyebab utama.

“Tiga faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan angka kemalangan ialah pemikiran, budaya dan cara memandu yang tidak berhemah.

“Masing-masing memahami bahawa jalan raya adalah satu daerah yang mempunyai pihak atasan tersendiri iaitu polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PBT negeri dan tempatan,” katanya semasa merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan sumbangan duit raya kepada anak yatim anjuran Majlis Jaksa
Pendamai, di Ayer Keroh.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, kira-kira 100 pegawai dan anggota polis akan bertugas sempena Ops Selamat.