Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 991 kilogram (kg) ikan bilis yang dibawa masuk ke negara ini tanpa dokumen yang sah.

Pengarah MAQIS negeri, Zarina Ramli berkata ikan bilis dengan nilai RM kira-kira RM11,473 dirampas dalam satu pemeriksaan di Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Butterworth pada Isnin.

Katanya, kontena dari Myanmar yang membawa ikan bilis itu didapati tidak mempunyai import permit (IP) yang sah daripada MAQIS.

Zarina berkata, tindakan mengimport ikan bilis tanpa permit yang sah adalah suatu kesalahan dibawah seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duannya sekali.

Tambahnya, MAQIS memainkan peranan penting dalam memastikan segala bahan pertanian yang dibawa masuk ke negara ini bebas daripada penyakit selain mempunyai sijil bagi bahan makanan yang berkaitan untuk membolehkan rakyat membeli barangan di pasaran tanpa rasa bimbang.

Jesteru, semua pihak pengimport perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam menjaga biosekuriti negara bagi memastikan setiap hasil pertanian dan produk makanan yang diimport adalah selamat, berkualiti dan halal.