Skip to main content

Malaysia

Ikatan gesa majikan utamakan kesihatan mental di tempat kerja

41760508628_TBLEELAMTHYE.jpg
Lee Lam Thye berkata, kesihatan mental merupakan isu penting di tempat kerja dan bukan sekadar dilihat sebagai urusan peribadi, kerana tenaga kerja yang sihat mental mampu meningkatkan penglibatan, produktiviti dan daya tahan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) menegaskan penyediaan persekitaran kerja yang selamat dan menyokong aspek psikososial merupakan satu tanggungjawab asas majikan dan bukan sekadar satu pilihan.

,Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata kesihatan mental merupakan isu penting di tempat kerja dan bukan sekadar dilihat sebagai urusan peribadi, kerana tenaga kerja yang sihat mental mampu meningkatkan penglibatan, produktiviti dan daya tahan.

Sebaliknya, beliau berkata, kesihatan mental yang terjejas boleh menyebabkan ketidakhadiran, kehadiran tanpa produktiviti, penurunan prestasi serta peningkatan kos penjagaan kesihatan, selain memberi kesan besar terhadap kehidupan, keluarga dan masyarakat.

“Sudah terlalu lama pekerja menderita dalam diam, dibebani tekanan, kebimbangan, kemurungan, keletihan melampau dan tekanan di tempat kerja tanpa sokongan atau pemahaman yang sewajarnya.

“Stigma terhadap kesihatan mental telah menjadi penghalang kepada individu untuk mendapatkan bantuan, sekali gus membawa kesan buruk kepada pekerja dan organisasi,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Ikatan dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), di sini, pada Isnin.

MoU itu memberi tumpuan kepada khidmat perundingan dan latihan berkaitan kesihatan mental untuk pekerja di syarikat yang menjadi anggota FMM.

Lee, yang juga merupakan anggota Majlis Penasihat Kesihatan Mental, menggariskan beberapa langkah utama yang perlu diambil majikan, termasuk menggalakkan perbincangan terbuka bagi menghapuskan diskriminasi, menyediakan akses kepada perkhidmatan kaunseling dan melatih pengurus untuk mengenal pasti tanda-tanda awal tekanan emosi.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan beban kerja yang munasabah, mengekalkan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan serta mewujudkan garis panduan yang jelas bagi membanteras buli di tempat kerja dan budaya kerja toksik.

Lee turut menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan memperkukuh mekanisme penguatkuasaan serta mengintegrasikan aspek kesihatan mental dalam rangka kerja keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengamalkan amalan terbaik.

Sehubungan dengan itu, beliau mengalu-alukan pengenalan Garis Panduan Pentaksiran dan Pengurusan Risiko Psikososial di Tempat Kerja (PRisMA) 2024 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Beliau berkata, garis panduan yang baharu diperkenalkan itu, bertujuan membantu majikan menjalankan saringan, menilai dan mengurangkan risiko psikososial bagi mewujudkan persekitaran kerja yang melindungi kesejahteraan mental pekerja.

“Usaha menangani isu ini secara terbuka memerlukan keberanian, namun yang lebih penting ialah komitmen majikan untuk mengambil berat, pekerja untuk bersuara dan masyarakat untuk menormalisasikan perbualan mengenai kesihatan mental,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement